BH Online
Ringkasan Berita

Polis Johor rampas dadah RM3.04 juta, tahan 8 lelaki termasuk remaja jadi transporter sindiket

JOHOR BAHRU: Polis merampas dadah methamphetamine dianggarkan seberat 60.78 kilogram bernilai RM3.04 juta dan menahan lapan lelaki termasuk seorang remaja keciciran sekolah yang menjadi ‘transporter’ bagi sindiket dadah pada Sabtu lalu.
Polis Johor rampas dadah RM3.04 juta, tahan 8 lelaki termasuk remaja jadi transporter sindiket

Ab Rahaman (dua dari kanan) menunjukkan dadah dan barang yang dirampas serta disita pada sidang media di IPK Johor, hari ini. NSTP/IZZ LAILY HUSSEIN

JOHOR BAHRU: Polis merampas dadah methamphetamine dianggarkan seberat 60.78 kilogram bernilai RM3.04 juta dan menahan lapan lelaki termasuk seorang remaja keciciran sekolah yang menjadi 'transporter' bagi sindiket dadah pada Sabtu lalu.

Dalam tiga serbuan dijalankan polis sekitar pusat bandar raya ini, remaja berusia 16 tahun itu ditahan bersama ketua sindiket berusia 50-an yang juga perancang utama mengatur keseluruhan operasi sindiket berkenaan.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad, berkata polis menyerbu sebuah Perodua Bezza di parkir hadapan sebuah hotel pada jam 9 malam, sebelum menahan empat lelaki tempatan dan seorang lelaki warga asing, sebelum serbuan susulan dibuat dalam hotel berkenaan serta menahan tiga lagi suspek lain.

Beliau berkata, selain dadah dan kereta itu, polis turut menyita barang kemas, sekali gus menjadikan keseluruhan rampasan dan sitaan bernilai RM3.14 juta,

"Dua suspek pertama yang ditahan bertindak sebagai 'transporter'. Mereka adalah remaja berkenaan yang tidak bersekolah sejak Januari tahun lalu, tercicir dan diabaikan keluarga serta seorang lagi 'transporter' warga asing.

"Suspek ketiga adalah 'runner' manakala tiga yang lain adalah orang kanan kepada ketua sindiket," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat.

Ab Rahaman berkata, ketika pemeriksaan dalam Perodua Bezza itu, polis merampas 50 paket plastik disyaki dadah methamphetamine dianggarkan seberat 60.78 kilogram (kg).

Beliau berkata, semua dadah dirampas itu dianggarkan bernilai RM3.04 juta dan jika terlepas ke pasaran boleh digunakan 303,900 orang penagih dadah.

Katanya, sindiket itu aktif sejak Mei lalu dengan modus operandi menjadikan kenderaan sebagai stor menyimpan dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.

"Hasil pemeriksaan, kereta digunakan sindiket ini tidak diubah suai. Perodua Bezza pada serbuan pertama itu adalah milik datuk kepada remaja terbabit.

"Datuknya memberi kebebasan kepada cucunya itu menggunakan kereta berkenaan walaupun dia tidak mempunyai lesen memandu.

"Dua lagi kenderaan yang diperiksa dan disita adalah milik seorang lagi suspek dan rakannya," katanya.

Ab Rahaman berkata, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati tiga suspek termasuk remaja terbabit positif methamphetamine, manakala lima lagi negatif sebarang dadah.

Katanya, semakan rekod lampau mendapati empat daripada suspek termasuk ketua sindiket mempunyai rekod lampau dalam kes dadah dan jenayah.

"Semua suspek direman tujuh hari sehingga Sabtu ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan