BH Online
Ringkasan Berita

UMPSA sedia bantuan bantu pelajar miskin

KUANTAN: Seramai 20 pelajar baharu Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menerima bantuan Dermasiswa B40 TVET Kementerian Pendidikan Tinggi bagi meringankan beban perbelanjaan mereka melangkah ke menara gading.
UMPSA sedia bantuan bantu pelajar miskin

Naib Canselor UMPSA, Prof Dr Yatimah Alias bertemu dengan pelajar UMPSA yang mendapat Dermasiswa B40 TVET. - Foto NSTP/Mohd Rafi Mamat.

KUANTAN: Seramai 20 pelajar baharu Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menerima bantuan Dermasiswa B40 TVET Kementerian Pendidikan Tinggi bagi meringankan beban perbelanjaan mereka melangkah ke menara gading.

Mereka terdiri daripada pelajar pengajian Diploma Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang mula mendaftar kemasukan kelmarin. Seramai 1,045 pelajar baharu.

Naib Canselor UMPSA, Prof Dr Yatimah berkata, dermasiswa tajaan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) membabitkan pengecualian bayaran yuran pengajian serta wang saku bulanan sepanjang tempoh pengajian.

Kemudahan itu memberi peluang kepada pelajar untuk menumpukan sepenuh perhatian terhadap pembelajaran tanpa dibelenggu kekangan kewangan.

Menurutnya, pihaknya turut menyampaikan Bantuan Awal Insentif Pendidikan melalui Yayasan UMPSA kepada sepuluh pelajar, masing-masing menerima RM1,000 sebagai usaha membantu mereka membuat persediaan awal bagi memulakan pengajian.

Katanya, UMPSA berusaha memastikan tiada pelajar tercicir daripada mendapat pendidikan berkualiti hanya disebabkan kekangan kewangan.

"Kita sentiasa komited memastikan setiap pelajar khususnya mereka yang kurang berkemampuan mendapat peluang pendidikan yang setara dan berkualiti. Peluang mereka melanjutkan pengajian perlu diberi sokong dan bantuan.

"Universiti akan terus menyediakan bantuan kewangan, sokongan akademik serta pelbagai inisiatif lain bagi memastikan mereka dapat meneruskan pengajian dan mengejar impian tanpa sebarang halangan," katanya selepas mengadakan pertemuan dengan pelajar baharu UMPSA, di sini hari ini.

Beliau menambah, bantuan yang disediakan bukan sehaja dapat meringankan beban kewangan pelajar dan keluarga, malah menjadi pelaburan universiti dalam melahirkan graduan TVET yang berdaya saing serta mampu menyumbang kepada pembangunan negara pada masa hadapan.

Yatimah berkata, setiap tahun pihaknya menyediakan peruntukan khas untuk membantu golongan pelajar dari keluarga berpendapatan rendah, kejayaan pelajar dalam pelajaran menjadi pencetus perubatan kehidupan keluarga.

Pelajar, Farah Qaisara Amril, 18, yang menerima Dermasiswa B40, berkata dia bersyukur dan merasa bertuah kerana terpilih menerima bantuan yang disediakan kerajaan.

"Saya merasa bertuah diberi peluang melanjutkan pengajian di UMPSA, bantuan yang diterima dapat meringankan beban keluarga. Kemudahan itu menjadi pembakar semangat untuk belajar bersungguh-sungguh dan mencapai cita-cita dalam kerjaya seterusnya dapat membantu keluarga suatu hari nanti.

"Pilihan menyambung pengajian di UMPSA peringkat Diploma Kejuruteraan Mekanikal dianggap pilihan yang tepat dalam memburu kejayaan," katanya yang berasal dari

Sabak Bernam, Selangor.

Bagi, Muhammad Aqib Hakim Mohd Aliazhar, diuji dengan penyakit kanser tulang tidak mematahkan semangatnya untuk menyambung pengagian di UMPSA dan lebih bermakna mendapat Dermasiswa B40 TVET KPT sepanjang pengagian.

"Saya akan berusaha memburu kejayaan walaupun berhadapan dengan kesukaran kerana kaki kanan yang lemah, sokongan diberi UMPSA menambahkan lagi semangat memcapai kejayaan," katanya yang berasal dari Kluang, Johor.

Video Terkini

Berita Berkaitan