KUALA LUMPUR: Kes suami yang bertaruh menceraikan isteri talak tiga jika Argentina kalah kepada Sepanyol pada perlawanan akhir Piala Dunia Isnin lalu perlu segera memfailkan tuntutan pengesahan cerai di Mahkamah Syariah bagi penentuan sama ada perceraian benar-benar berlaku atau sebaliknya.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, berkata dalam kes itu, hakim Mahkamah Syariah yang akan membuat penentuan dan mengikut prosedur, pasangan terbabit perlu tampil dalam tempoh tujuh hari selepas insiden berlaku supaya status hubungan tidak tergantung.
"Suami bertaruh kalau Argentina kalah terjatuh talak tiga ke atas isterinya, ini adalah perceraian dengan syarat atau dipanggil cerai taklik dan dalam konteks Undang-Undang Keluarga Islam, talak bersyarat ini diterima.
"Bagi menghilangkan keraguan mengenai status semasa sama ada masih suami isteri dan talak tiga yang dipertaruhkan itu jatuh atau tidak, disarankan pasangan ini memfailkan tuntutan mengesahkan perceraian di bawah Akta atau Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam.
"Dalam masa tujuh hari (daripada tarikh lafaz talak) itu dibuat, ia perlu dilaporkan kepada mahkamah dan keputusan (talak jatuh atau sebaliknya) hanya hakim yang tentukan, berdasarkan beberapa pertimbangan," katanya kepada BH.
Terdahulu, tular di media sosial susulan tindakan suami didakwa menjadikan lafaz talak sebagai taruhan dalam perlawanan akhir bola sepak Piala Dunia sehingga mengundang kecaman daripada pengguna media sosia.
Dalam hantaran yang dimuat naik diplatform Threads oleh individu dengan akaun Raudhah.24, seorang wanita buntu selepas suaminya bertindak menceraikannya dengan talak tiga berikutan kekalahan pasukan Argentina ke atas Sepanyol.
Berdasarkan mesej dikongsikan, si suami dikatakan membuat pertaruhan bersama rakannya dengan meletakkan syarat dia akan menceraikan isterinya dengan talak tiga sekiranya Argentina tewas.
Memperincikan antara pertimbangan hakim dalam mensabitkan lafaz talak tiga sama ada sabit sebagai talak tiga atau talak satu, Mohd Na'im yang juga bekas Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), berkata ia bergantung kepada banyak faktor termasuk sejarah rumah tangga pasangan terbabit.
"Contohnya, mahkamah akan tengok dari segi pengetahuan suami, adakah lafaz dibuat kerana kejahilannya atau tidak berfikir dengan baik.
"Mahkamah juga akan lihat rekod pasangan ini, misalnya pernah bercerai sebelum ini dan sebagainya.
"Dalam kes ini, isunya besar kerana suami pertaruhkan talak tiga, tidak boleh lagi rujuk dengan isteri jika hakim mensabitkan perceraian sebagai talak tiga," katanya.
Beliau berkata, menjadikan soal talak sebagai mainan bukan sahaja satu tindakan tidak bertanggungjawab seorang lelaki bergelar ketua keluarga, malah lebih membimbangkan, masih ada dalam kalangan masyarakat tidak cakna perbuatan itu sama seperti perjudian dengan menjadikan isteri sebagai mangsa yang sepatutnya dilindungi dan dijaga maruahnya.
























