JELEBU: Calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Klawang, Danni Rais memaklumkan kempennya kini bergerak lebih lancar selepas masalah berbangkit membabitkan jentera diselesaikan.
Tambah wakil Parti Wawasan Negara (WAWASAN) itu, isu Pusat Daerah Mengundi (PDM) Barisan Nasional (BN) dan 16 cawangan UMNO di DUN berkenaan yang didakwa tidak menyokongnya sudah diselesaikan.
"Terima kasih kepada rakan-rakan BN kerana memberi kerjasama bagi memastikan PDM dan bilik gerakan dapat beroperasi seperti biasa. Dengan kempen berbaki sembilan hari, kita akan turun berkempen bersama-sama," katanya.
Danni yang ditemui selepas mengadakan perjumpaan dengan petugas Jalinan Rakyat (JR) Kampung Kuala Pah/Kampai di Kampung Kampai, malam tadi, berkata BN membantu kempennya dan bergerak bersama sebaik selesai penamaan calon Sabtu lalu.
Bagaimanapun, katanya, isu berkaitan PDM sedikit tertangguh dan dianggap perkara biasa apabila dua gabungan bekerjasama.
"Alhamdulillah, segalanya sudah selesai dan kerjasama kita diharap memudahkan pergerakan kempen selepas ini," katanya membeir contoh petugas PDM Ladang Jelebu yang bertukar-tukar memakai vest PN dan BN selain bersama-sama memasang bendera.
"Matlamat kita sekarang ialah mengalahkan Pakatan Harapan (PH), jadi kita perlu bekerja ke arah itu," katanya dan memaklumkan beberapa nama besar BN dan PN dijangka turun membantu kempennya selepas ini.
























