KOTA KINABALU: Perbelanjaan pengoperasian kerajaan Sabah masih melebihi perbelanjaan pembangunan berikutan kutipan hasil negeri yang sebelum ini tidak mencukupi, menyebabkan agihan perbelanjaan perlu diurus mengikut kemampuan kewangan negeri.
Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata keadaan itu bukan perkara baharu, malah telah berlaku sejak sekian lama kerana kerajaan negeri berdepan kekangan hasil tahunan.
"Berhubung persoalan mengapa perbelanjaan pengoperasian melebihi perbelanjaan pembangunan, keadaan ini juga telah berlaku sejak sekian lama.
"Kutipan hasil Kerajaan Sabah sejak dahulu tidak begitu besar, menyebabkan perbelanjaan pembangunan dan perbekalan terpaksa diurus mengikut kemampuan kewangan negeri.
"Selama berpuluh-puluh tahun, kerajaan Sabah tidak berupaya membuat caruman yang lebih besar kepada Akaun Pembangunan kerana kekangan hasil tahunan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, semalam.
Bagaimanapun, beliau berkata kedudukan kewangan negeri yang semakin kukuh membolehkan kerajaan meningkatkan siling peruntukan pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) kepada RM12 bilion bagi tempoh lima tahun, berbanding RM4 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Katanya, peningkatan terbabit membuktikan komitmen kerajaan untuk memperkasakan pembangunan negeri.
Mengulas lanjut, Masidi berkata dari segi komposisi perbelanjaan, nisbah perbelanjaan perbekalan kepada pembangunan turut menunjukkan penambahbaikan apabila berubah daripada 80:20 pada 2025 kepada 76:24 bermula tahun ini.
Menurutnya, langkah itu selaras dengan hasrat kerajaan untuk terus meningkatkan peruntukan pembangunan pada masa depan.
Pada masa sama, beliau menjelaskan perbelanjaan perbekalan masih lebih tinggi kerana sebahagian besar aset kerajaan seperti bangunan, jalan raya, jambatan, sistem perparitan, cerun, paip air dan sistem pembetungan kini berada dalam fasa penyelenggaraan.
Katanya, kos penyelenggaraan aset berkenaan diklasifikasikan sebagai perbelanjaan perbekalan.
Susulan itu, beliau menjelaskan kerajaan memerlukan lebihan hasil yang lebih besar bagi membolehkan lebih banyak dana disalurkan kepada program pembangunan baharu.
Dalam perkembangan sama, Masidi berkata Kementerian Kewangan Sabah bersedia mengadakan taklimat khas kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
"Langkah ini penting bagi meningkatkan kefahaman mengenai jenis-jenis akaun kerajaan negeri, disiplin pengurusan belanjawan serta prinsip pengurusan kewangan negeri secara menyeluruh," katanya.
























