KOTA KINABALU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan 2026 bagi menampung keperluan perbelanjaan tambahan untuk perkhidmatan dan pembangunan berjumlah RM1.6 bilion sehingga akhir tahun ini.
Timbalan Speaker DUN Sabah, Datuk Al-Hambra Tun Juhar, berkata RUU terbabit lulus selepas dibahas 42 orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan mendapat sokongan sebulat suara.
Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata anggaran peruntukan tambahan (ASP) itu merupakan mekanisma kewangan yang diperuntukkan di bawah tatacara pengurusan kewangan kerajaan.
Katanya, ia bagi membolehkan keperluan perbelanjaan yang belum dapat ditentukan sepenuhnya semasa penyediaan Belanjawan Tahunan.
"Oleh itu, pembentangan ASP pada kali ini tidak seharusnya ditafsirkan sebagai kegagalan atau kelemahan dalam perancangan Belanjawan 2026 yang telah dibentangkan pada bulan Disember 2025.
"Belanjawan tahunan disediakan selaras dengan dasar, keutamaan, unjuran hasil, keperluan perbelanjaan dan maklumat terbaik yang tersedia pada ketika itu.
"Dalam hal ini, setiap permohonan tambahan perlu melalui proses penelitian dan penilaian berdasarkan keperluan sebenar, prestasi perbelanjaan, kemampuan kewangan kerajaan serta kepentingannya kepada penyampaian perkhidmatan dan kesejahteraan rakyat.
"Justeru itu, ASP yang dibentangkan ini mencerminkan keupayaan kerajaan untuk bertindak secara responsif dan bertanggungjawab terhadap perubahan keperluan semasa tanpa mengetepikan prinsip disiplin fiskal, akauntabiliti dan tatakelola kewangan yang baik," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam sesi penggulungan semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, semalam.
Isnin lalu, ketika pembentangan berkaitan peruntukan tambahan itu, Masidi memperincikan ia melibatkan 53 kepala perbelanjaan yang diperincikan dalam Jadual Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2026.
Katanya daripada jumlah keseluruhan itu, sebanyak RM856 juta diperuntukkan bagi caruman kepada kumpulan wang berkanun, diikuti RM278 juta untuk perbelanjaan operasi dan RM210 juta bagi tujuan pelaburan.
Katanya, baki peruntukan meliputi RM162 juta bagi perbelanjaan pentadbiran, RM93 juta untuk pemberian dalam negeri serta RM13 juta sebagai peruntukan khas.
Dalam perkembangan sama, Masidi berkata, Penyata Tambahan Anggaran Pembangunan 2026 turut memerlukan peruntukan tambahan sebanyak RM435.54 juta yang membabitkan 35 kepala perbelanjaan di bawah sembilan kementerian.
Katanya, daripada jumlah itu, RM216.34 juta atau 49.7 peratus dibiayai menerusi Kumpulan Wang Negeri, manakala RM219.20 juta atau 50.3 peratus lagi adalah bagi membiayai perbelanjaan Pinjaman Persekutuan.
























