bhnews@bh.com.my
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menarik semula kenyataan beliau terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan, Chin Tek Ming pada sesi sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang lalu.
Kenyataan terbabit merujuk berdasarkan penyata rasmi (hansard) bertarikh 30 April lepas dimana Hajiji menyebut "ini peguam (lawyer) tapi otak gila ini" terhadap Tek Ming.
Timbalan Speaker DUN Sabah, Datuk Al-Hambra Tun Juhar memberi ruang untuk penarikan kenyataan terbabit sebelum sidang bermula, semalam.
"Saya menarik balik kenyataan yang saya buat pada sesi DUN pada 30 April yang lalu," kata Hajiji.
Isnin lalu, Tek Ming semasa sesi bahas di DUN Sabah meminta agar kenyataan tersebut ditarik semula.
"Saya merujuk kepada Hansard bertarikh 30 April 2026, muka surat 152, di mana Yang Amat Berhormat Ketua Menteri telah menyebut terhadap saya 'ini peguam tapi otak gila ini'.
"Tuan Speaker, saya boleh menerima kritikan terhadap hujah saya, tetapi saya tidak boleh menerima penghinaan terhadap maruah seorang Ahli Dewan.
"Perbahasan di Dewan ini hendaklah dijawab dengan fakta dan hujah, bukan dengan kata-kata yang menghina. Lebih penting lagi, perkataan seperti ini datang daripada seorang Ketua Menteri.
"Jika Ketua Menteri sendiri menggunakan bahasa sedemikian tanpa sebarang tindakan, apakah mesej yang kita hantar kepada rakyat? Bahawa penghinaan lebih diutamakan daripada hujah, dan Peraturan Mesyuarat hanya terpakai kepada sesetengah Ahli sahaja?
"Saya dengan hormat tetapi tegas memohon Tuan Speaker menegakkan Peraturan Mesyuarat 43(4) dengan mengarahkan Yang Amat Berhormat Ketua Menteri menarik balik perkataan tersebut tanpa syarat. Maruah Dewan ini bergantung kepada kesediaan kita menegakkan peraturannya," katanya.
























