PORT DICKSON: Seorang calon Bebas yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Tanjung pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, mendakwa bahawa beliau bakal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Sepang pada Ogos depan atas pertuduhan bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
Calon berkenaan, Islah Wahyudi Zainudin, 46, berkata beliau menerima notis pertuduhan itu, hari ini, selepas dikunjungi pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
"Ia berkenaan hantaran saya dalam media sosial.
"Saya akan memberikan kenyataan lanjut pada sidang media, esok, berserta pelancaran manifesto saya untuk pilihan raya DUN Sri Tanjung," katanya ketika dihubungi, malam ini.
Islah Wahyudi berdepan empat pencabar lain di kerusi DUN berkenaan membabitkan penyandang daripada Pakatan Harapan (PH), Datuk Dr G Rajasekaran; A Achuthan yang mewakili Barisan Nasional (BN), M Leevineshwaraan (BERSATU) dan seorang lagi calon Bebas, Datuk A Saravanan.




















