TANAH MERAH: Kerajaan Kelantan merobohkan sebuah premis serta tiga rumah dihuni secara haram oleh etnik Rohingya di atas tanah milik kerajaan negeri di Pechong, di sini, hari ini.
Operasi perobohan itu bermula jam 10.30 pagi dengan diketuai Pejabat Tanah dan Galian (PTG) serta Pejabat Tanah dan Jajahan Tanah Merah, selain disertai beberapa agensi lain.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah, berkata tindakan itu diambil selepas pihaknya mengesan premis serta kediaman terbabit dibina oleh pihak tidak bertanggungjawab tanpa kebenaran.
Malah, beliau berkata, premis dan kediaman berkenaan kemudian disewakan kepada etnik Rohingya dengan kadar bayaran tertentu.
"Antara dirobohkan ialah sebuah premis dan tiga rumah yang dibina tanpa kelulusan merancang atau kebenaran bertulis daripada pihak berkuasa.
"Tindakan itu bertujuan membanteras pencerobohan tanah kerajaan, menangani isu penempatan warga asing tanpa dokumen sah, serta mengelak kegiatan menyalahi undang-undang di kawasan terbabit," katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang dikesan menceroboh, memaju ataupun menyewakan tanah rizab serta tanah kerajaan secara haram kepada warga asing.
























