BH Online
Ringkasan Berita

Bubar BERSATU, kembali kepada UMNO - Veteran UMNO

KUALA LUMPUR: Seorang pemimpin veteran UMNO menggesa BERSATU dibubarkan dan ahlinya kembali menyertai UMNO, dengan menekankan keperluan penyatuan politik Melayu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Bubar BERSATU, kembali kepada UMNO - Veteran UMNO

Veteran UMNO, Tan Sri Mohd Yussof Latiff. - Foto NSTP/Mikail Ong.

KUALA LUMPUR: Seorang pemimpin veteran UMNO menggesa BERSATU dibubarkan dan ahlinya kembali menyertai UMNO, dengan menekankan keperluan penyatuan politik Melayu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Veteran UMNO, Tan Sri Mohd Yussof Latiff, berkata BERSATU yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin kini semakin terpinggir daripada arus perdana politik susulan krisis dalaman parti serta kemelut yang melanda Perikatan Nasional (PN), gabungan yang turut dianggotai PAS.

Kegagalan BERSATU memenangi sebarang kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini juga, katanya, menjadi petunjuk jelas bahawa parti itu semakin kehilangan sokongan rakyat.

"Dalam PRN Johor, Barisan Nasional (BN) melalui UMNO menang bergaya dengan memperoleh 48 kerusi, manakala BERSATU gagal memenangi sebarang kerusi.

"Pada masa sama, PAS yang berada dalam PN pula mengarahkan ahlinya menyokong calon BN, sekali gus memperlihatkan hubungan politik antara PAS dan UMNO di Johor," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Yussof berkata, keputusan BERSATU bertanding menggunakan lambang sendiri pada PRN Negeri Sembilan menunjukkan hubungan parti itu dengan PAS semakin renggang.

Beliau berpendapat tindakan BERSATU bergerak secara solo akan menjadikan laluan parti itu lebih sukar, malah tidak mustahil semua calonnya tewas sebagaimana berlaku pada PRN Johor.

"Ketika PAS dan UMNO sedang membina satu keluarga besar bagi mengisi kelompongan perjuangan orang Melayu dan bersatu dalam menghadapi pelbagai cabaran politik negara khususnya daripada parti-parti bukan Melayu, BERSATU nyata terpinggir," katanya.

Beliau berpandangan, BERSATU tidak mempunyai masa depan yang baik jika terus bergerak secara solo kerana hubungannya dengan PAS mengecewakan, manakala hubungan dengan UMNO juga sukar dipulihkan memandangkan parti itu melihat BERSATU sebagai pengkhianat selepas ditubuhkan daripada UMNO.

"Parti BERSATU adalah serpihan daripada parti besar Melayu iaitu UMNO. Tan Sri Muhyiddin dan ramai ahli BERSATU berasal dari UMNO. Mereka 'berdarah' UMNO dan cara fikir pun cara UMNO.

"Maka eloklah dengan segala kesedaran kembali kepada UMNO khususnya apabila UMNO kini membuka pintunya kepada bekas-bekas ahli UMNO sama ada dipecat, digantung atau yang meninggalkan UMNO," katanya.

Mohd Yussof berkata, pengalaman serta pengaruh Muhyiddin dalam politik Melayu masih boleh dimanfaatkan bagi mengukuhkan semula UMNO dan mengembalikan keyakinan orang Melayu terhadap parti itu.

"Pemimpin UMNO juga perlu melihat senario yang lebih besar dan tidak hanya memberi tumpuan kepada hubungan dengan PAS sebaliknya mengembalikan kepercayaan orang Melayu kepada UMNO melalui penyatuan serta silaturahim yang ikhlas dalam kalangan pemimpin politik Melayu.

"Masa belum terlambat lagi. BERSATU sebagai adik kecil perlu bersama abangnya UMNO untuk memajukan politik orang Melayu khususnya dalam PRU16 akan datang," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan