KUALA LUMPUR: Tiada lesen perniagaan serta menjalankan aktiviti yang tidak selaras dengan kelulusan premis dikenal pasti antara pelanggaran undang-undang yang dilakukan NSO Malaysia Sdn Bhd (Network School) di Forest City, Johor Bahru.
Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dalam kenyataannya hari ini, memaklumkan susulan itu pihaknya mengarahkan syarikat berkenaan menghentikan operasinya berkuat kuasa hari ini, selain turut mengesan papan iklan yang dipamerkan di premis itu tidak mengikut kelulusan yang diberikan.
MBIP berkata, keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Penuh Khas MBIP susulan pemeriksaan dan naziran yang dijalankan terhadap aktiviti syarikat berkenaan pada 12, 14, 19 dan 20 Julai lalu.
"Bagi premis di P-01-11, Teluk Bintang, Jalan Forest City 5, Pulau Satu Forest City, syarikat didapati menjalankan perniagaan tanpa lesen.
"Sehubungan itu, MBIP mengeluarkan Notis Henti Niaga mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) 3(1) Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian MBIP 2018," katanya.
Bagi sebuah lagi premis di P-01-12, Teluk Bintang, Jalan Forest City 5, Pulau Satu Forest City, MBIP berkata, lesen premis perniagaan dan iklan dibatalkan selepas syarikat didapati menjalankan aktiviti perniagaan yang berbeza daripada kelulusan diberikan, iaitu menggunakan premis yang diluluskan sebagai pejabat urusan untuk aktiviti lain.
Selain itu, MBIP berkata, pihaknya turut mengeluarkan Notis Patuhi Syarat Lesen Iklan selepas mendapati papan iklan yang dipamerkan di premis itu tidak sama seperti yang diluluskan dalam permohonan, mengikut Undang-Undang Kecil 18, Undang-Undang Kecil Iklan (MDJBT) 1982 selaras Seksyen 107(2) Akta Kerajaan Tempatan 1976.
"MBIP menegaskan semua aktiviti perniagaan dalam kawasan pentadbirannya wajib mematuhi undang-undang serta syarat pelesenan yang berkuat kuasa bagi menjaga kepentingan awam, ketenteraman dan integriti sistem pentadbiran tempatan.
"Pihak MBIP tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan pendakwaan sekiranya syarikat terus menjalankan aktiviti yang bertentangan dengan undang-undang," katanya.
Isu operasi Network School di Forest City menjadi perhatian selepas kerajaan Johor menyuarakan kebimbangan berhubung dakwaan terdapat warga Israel menyertai program berkenaan.
Kontroversi itu tercetus selepas beberapa pengguna media sosial mempersoalkan kehadiran Network School di Forest City, dengan ada hantaran mendakwa projek berkenaan menarik penyertaan usahawan asing, termasuk warga Israel yang memasuki Malaysia menggunakan pasport negara kedua.
























