BH Online
Ringkasan Berita

19 individu dikaitkan Network School di Forest City gagal dikesan - KP Imigresen

CYBERJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia mengesahkan seramai 19 individu yang dikaitkan dengan aktiviti Network School masih gagal dikesan.
19 individu dikaitkan Network School di Forest City gagal dikesan - KP Imigresen

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban pada Majlis Sambutan Hari Imigresen 2026 di Cyber Event Hall, Cyberjaya hari ini. - Foto BERNAMA

CYBERJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia mengesahkan seramai 19 individu yang dikaitkan dengan aktiviti Network School masih gagal dikesan.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, berkata pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut bagi menentukan sama ada mereka masih berada dalam negara atau sudah keluar secara tidak sah.

Katanya, berdasarkan semakan jabatan itu, seramai 430 individu dikenal pasti terbabit dalam aktiviti berkaitan Network School dan daripada jumlah itu, 210 individu masih berada di Malaysia, manakala 201 lagi direkodkan sudah keluar dari negara ini.

"Kita ada 19 orang yang tidak dapat dikesan pergerakannya. Mungkin mereka keluar secara tidak sah ataupun mereka juga masuk secara tidak sah.

"Itu yang kita kenal pasti dan kita akan buat siasatan lanjut. Kita akan kesan sama ada mereka ini masih berada di dalam negara ataupun mereka sudah keluar," katanya kepada pemberita selepas Sambutan Hari Imigresen Ke-104 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Zakaria berkata, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan agensi penguat kuasa lain, kerajaan negeri serta pihak berkuasa tempatan dalam menangani isu berkenaan.

Jelasnya, setakat ini, jabatan itu sudah menjalankan dua pemeriksaan imigresen di lokasi berkenaan, namun tidak menemui seperti mana yang didakwa.

"Kita sudah membuat pemeriksaan terhadap 379 warga asing yang berada di Network School itu dan sehingga kini dua kali pemeriksaan imigresen yang kita laksanakan, kita tidak menjumpai apa yang didakwa sebagaimana yang didakwa," katanya.

Isu operasi Network School di Forest City menjadi perhatian selepas kerajaan Johor menyuarakan kebimbangan berhubung dakwaan terdapat warga Israel menyertai program berkenaan menggunakan pasport negara kedua.

Kontroversi itu tercetus selepas beberapa pengguna media sosial mempersoalkan kehadiran Network School di Forest City, dengan ada hantaran mendakwa projek berkenaan menarik penyertaan usahawan asing, termasuk warga Israel yang memasuki Malaysia menggunakan pasport negara kedua.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, semalam menggesa KDN dan agensi berkaitan menjalankan siasatan menyeluruh terhadap operasi program berkenaan.

Beliau dilaporkan berkata, KDN, Imigresen, PDRM, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta agensi keselamatan berkaitan diminta menjalankan semakan dan siasatan menyeluruh.

KDN kemudian memaklumkan semakan dan siasatan menyeluruh sedang dijalankan menerusi Imigresen, PDRM serta agensi berkaitan.

Kementerian itu turut menegaskan aspek keselamatan negara dan pematuhan undang-undang tidak akan dikompromi, selain meminta orang ramai tidak membuat spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.

Video Terkini

Berita Berkaitan