BH Online
Ringkasan Berita

Jeritan pelajar lelaki selamatkan rakan asrama

KULIM: Jeritan kuat seorang pelajar tingkatan lima berjaya mengejutkan 100 penghuni asrama lelaki Sekolah Menengah Agama (SMA) Tarbiah Diniah, di sini, yang terbakar hari ini.
Jeritan pelajar lelaki selamatkan rakan  asrama

Aqil Muhaimin menunjukkan tingkat atas bangunan asrama lelaki SMA Tarbiah Diniah yang terbakar. - Foto Zuliaty Zulkiffli.

KULIM: Jeritan kuat seorang pelajar tingkatan lima berjaya mengejutkan 100 penghuni asrama lelaki Sekolah Menengah Agama (SMA) Tarbiah Diniah, di sini, yang terbakar hari ini.

Ketika kejadian jam 2.27 pagi itu, semua pelajar asrama terbabit yang berada di tingkat atas bangunan dua tingkat itu dikatakan sedang nyenyak tidur.

Pelajar terbabit, Aqil Muhaimin Shahidi, 17, berkata, dia terjaga dari tidur dan secara tiba-tiba dia menyedari ada api di bahagian tingkap di tingkat atas asrama itu.

Katanya, ketika itu api dilihat semakin besar dan dia terus mengejutkan rakan-rakannya yang sedang tidur sebelum menjerit meminta semua lari.

"Bahagian atas ada 47 pelajar manakala di tingkat bawah pula 54 orang dan kesemuanya berjaya menyelamatkan diri dengan hanya tinggal sehelai sepinggang.

"Kebanyakan mereka adalah pelajar lelaki tingkatan dua, tiga, empat dan enam, " katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Aqil Muhaimin turut bersyukur kerana Allah SWT menjentik hatinya untuk bangun dari tidur bagi membantu rakan-rakannya.

Katanya, semua 100 pelajar terbabit berhimpun di satu tempat di kawasan sekolah tanpa sempat menyelamatkan barang masing-masing.

"Semua barangan termasuk pakaian sekolah serta al-Quran di tingkat atas asrama gagal diselamatkan kerana api marak cepat.

"Saya lega sebab saya dapat selamatkan nyawa orang dan tiada seorang pun yang melecur atau cedera dalam kejadian itu, " katanya yang juga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

Sementara itu, Pengetua sekolah, Kamarudin Zakaria berkata, pihaknya sudah memaklumkan kejadian itu kepada semua waris untuk mengambil anak masing-masing dan bercuti sehingga Sabtu ini bagi membolehkan pihak sekolah menyiapkan asrama sementara.

"Kebanyakan mereka sudah pulang namun sesi pembelajaran di sekolah ini diteruskan untuk pelajar yang tidak terbabit dalam kebakaran ini.

"Secara keseluruhan sekolah ini mempunyai lebih 700 pelajar dan menempatkan empat blok asrama iaitu masing-masing dua blok asrama lelaki dan perempuan.

"Sekolah ini adalah sekolah agama rakyat di bawah pemantauan Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) dan dibantu Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) yang beroperasi sejak 1960-an manakala asrama sekolah ini pula wujud pada 1984," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan