PORT DICKSON: Pakatan Harapan (PH) berharap rakyat dan pengundi di Negeri Sembilan dapat meneliti manifesto gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini yang mengutamakan semua golongan khususnya M40 dan B40.
Pengerusi PH negeri yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata kepimpinan PH sudah menunjukkan komitmen tinggi dalam membela nasib rakyat.
"Sudah tentu kita mengharapkan mereka melihat dan meneliti manifesto PH.
"Apa yang penting adalah rakyat dan apa yang ingin kita berikan kepada mereka. Jika sebelum ini terhad kepada golongan B40, kini diperluaskan untuk golongan pertengahan bagi sama-sama menikmati kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya," katanya ketika berkempen dari rumah ke rumah di Ladang Sekang Linggi di sini, hari ini.
PH menggariskan 10 komitmen utama menerusi manifesto bertema 'Kekal Harapan', yang antara lain termasuk tawaran bidang pendidikan diperluaskan kepada golongan M40.
Aminuddin berkata, fokus pimpinan dan calon PH ketika ini berusaha menyampaikan tawaran manifesto berkenaan kepada rakyat.
Beliau berkata, pengalaman mentadbir negeri sejak 2018 membuktikan PH bersungguh-sungguh merealisasikan setiap intipati manifesto dikeluarkan.
Mengenai kempennya, Ahli Parlimen Port Dickson itu yang bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi, berkata ia berjalan lancar dan berhasrat menemui semua pengundi dalam daerah itu.
"Momentum kempen baik, ada kalangan rakyat meminta kita selesaikan beberapa perkara kecil seperti perparitan, bumbung rumah bocor dan air bertakung di halaman rumah," katanya.
























