BH Online
Ringkasan Berita

PRN NS: Manifesto BN dilancar Jumaat, tumpu kepentingan rakyat, pembangunan negeri

JELEBU: Manifesto Barisan Nasional (BN) yang akan dilancarkan pada Jumaat ini bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, dirangka sebagai pelan pembangunan negeri yang menyeluruh.
PRN NS: Manifesto BN dilancar Jumaat, tumpu kepentingan rakyat, pembangunan negeri

Jalaluddin ketika mengadakan sesi tinjauan mesra di FELDA Paloh 1, hari ini. - NSTP/RIDHWAN RUSYDI AZRI ROSLAN

JELEBU: Manifesto Barisan Nasional (BN) yang akan dilancarkan pada Jumaat ini bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, dirangka sebagai pelan pembangunan negeri yang menyeluruh.

Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, berkata manifesto itu disediakan dengan mengambil kira kepentingan semua aspek pentadbiran, selain kepentingan dan keperluan setiap lapisan masyarakat.

Timbalan Pengerusi BN Negeri Sembilan itu menegaskan manifesto terbabit bukan sekadar mengandungi janji pilihan raya, sebaliknya dirangka berdasarkan keperluan pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata, ia termasuk memberi penekanan kepada pembangunan ekonomi negeri, pendidikan, kesejahteraan masyarakat, peluang pekerjaan, perumahan dan pembangunan belia.

"Manifesto kita menjurus kepada pelbagai aspek kehidupan masyarakat meliputi soal kesejahteraan rakyat, pembangunan dan ekonomi negeri, pendidikan, agama serta adat resam.

"Paling penting ialah soal berkaitan kestabilan tatasusila, pentadbiran adat dan Raja-Raja Melayu di Negeri Sembilan. Itu akan terangkum dalam manifesto BN," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sesi tinjauan mesra sempena kempen PRN di FELDA Pasoh 1, di sini, hari ini.

Jalaluddin yang juga calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pertang berkata, manifesto itu akan menjadi gambaran besar tawaran BN kepada rakyat.

Beliau berkata, perinciannya termasuk aspek angka serta peruntukan akan didedahkan dalam pembentangan Belanjawan Negeri, sekiranya diberikan mandat.

Katanya, manifesto itu akan membolehkan BN melaksanakan setiap inisiatif dengan lebih tersusun mengikut keutamaan, sekali gus memastikan setiap janji yang dibuat dapat direalisasikan.

Malam tadi, Pakatan Harapan (PH) menjadi gabungan pertama membentangkan manifesto menghadapi PRN Negeri Sembilan kali ini, dengan menggariskan 10 komitmen utama menerusi manifesto bertema 'Kekal Harapan'.

Manifesto itu dilancarkan bersama oleh Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun; Timbalan Pengerusi PH, Anthony Loke; dan Pengerusi AMANAH Negeri Sembilan, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman.

Video Terkini

Berita Berkaitan