KUALA LUMPUR: PAS membidas telahan DAP kononnya Pakatan Harapan (PH) mampu meraih majoriti dua pertiga pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, Ahad depan.
Sebaliknya, Penolong Setiausaha Agung II PAS, Mohd Syahir Che Sulaiman, menyifatkan ramalan itu dibuat berpandukan maklumat kurang tepat atau sekadar mempertaruhkan nasib.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bachok juga mempersoalkan sama ada PH gagal membaca isyarat di lapangan memandangkan perkembangan semasa dikatakan tidak memihak kepada PH.
"Tidak pasti daripada mana datangnya keyakinan Timbalan Pengerusi PH merangkap yang juga Agung DAP, Anthony Loke (mengenai jangkaan PH mampu raih majoriti dua pertiga di Negeri Sembilan).
"Berdasarkan pemerhatian dan perkembangan semasa, telahan saya sebaliknya. (Jumlah kerusi) 23 lebih berpotensi menjadi angka kemenangan Perikatan Nasional (PN)-Barisan Nasional (BN).
"Kepada Loke, saya berpesan 'Be careful what you wish for' (berhati-hati dengan perkara dihajati)," katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Loke dilaporkan berkata, PH menyasarkan untuk menang sekurang-kurangnya 23 daripada 36 kerusi pada PRN Negeri Sembilan bagi memperoleh mandat lebih besar dan membentuk kerajaan negeri stabil.
Pada PRN Negeri Sembilan Ke-15, PH memenangi 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan memerlukan sekurang-kurangnya dua kerusi lagi untuk memperoleh majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri.
Sementara itu, Mohd Syahir berkata, persefahaman PN-BN dibuat bagi mengelak pertindihan kerusi dan membuka peluang lebih cerah untuk mempertahankan 19 kerusi penyandang.
Beliau berkata, persefahaman itu antara lain bagi meningkatkan potensi kedua-dua gabungan merampas empat kerusi marginal seperti DUN Sikamat, Ampangan, Pilah dan Klawang.
Katanya, jika momentum itu berterusan, sasaran memenangi 23 kerusi majoriti Melayu di Negeri Sembilan tidak mustahil, didorong formula penyatuan ummah yang semakin diterima pengundi.
"Angka 23 ini amat signifikan, kurang satu kerusi untuk PN-BN memperoleh majoriti dua pertiga di Negeri Sembilan. Saya lebih optimis dengan unjuran ini di pihak PN-BN iaitu 23 (kerusi) atau (majoriti) 2/3 (dua pertiga).
"Ini boleh dicapai jika MCA, MIC, GERAKAN dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) berjaya menembusi sebahagian daripada 13 kerusi majoriti bukan Melayu dimenangi PH, sebelum ini," katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Syahir berkata, PAS mahupun PN tidak diajar bermain dengan angka mahupun bertaruh nasib, sebaliknya perlu berusaha dan berserah kepada Allah SWT.
"Berbalik kepada permainan angka di pihak DAP, itu hak dan pendekatan mereka yang kita hormati. Namun, kita tidak diajar bermain nombor atau bertaruh nasib.
"Kita dituntut untuk sentiasa berusaha, kemudian menyerahkan segalanya kepada Tuhan Yang Maha Kuasa," katanya.
























