CYBERJAYA: Jabatan Imigresen mengesan trend penyalahgunaan pas lawatan sosial untuk bekerja dan menjalankan aktiviti ekonomi di negara ini semakin meningkat sejak 2023, sekali gus mendorong agensi itu memperhebat operasi penguatkuasaan terhadap pesalah.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, berkata statistik menunjukkan sebanyak 1,279 tangkapan direkodkan pada 2023, meningkat 2,644 pada 2024 manakala pada 2025 pula 2,630 tangkapan dan 451 membabitkan kesalahan sama setakat 15 Julai lalu.
"Kalau ikut rekod kita sejak tahun 2023 memang ada peningkatan yang agak ketara dari segi kes-kes tangkapan yang kita buat.
"Maksudnya mereka masuk menggunakan pas lawatan sosial atau pun pas pelancong, tetapi datang ke sini untuk bekerja ataupun melakukan aktiviti ekonomi dan itu adalah satu kesalahan di bawah Akta Imigresen," katanya pada sidang media selepas perasmian Sambutan Hari Imigresen Ke-104 oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid di sini, hari ini.
Zakaria berkata, Imigresen tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan kemudahan pas lawatan sosial dan akan terus memburu individu yang melakukan kesalahan berkenaan.
Beliau turut menegaskan penyalahgunaan pas lawatan sosial tidak tertumpu kepada satu-satu kewarganegaraan sahaja.
"Kalau ikut statistik, ia tidak menjurus kepada satu-satu warganegara. Walaupun dimainkan di pihak media kononnya membabitkan warga China, data kita tidak membuktikan begitu," katanya.
Sementara itu, Zakaria berkata, sebanyak 63,475 pasport versi baharu dikeluarkan setakat 17 Julai lalu.
Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 42,935 membabitkan pasport untuk tempoh lima tahun manakala 20,540 bagi 10 tahun.
"Pelaksanaan ini dibuat secara berperingkat bagi memastikan proses migrasi sistem berjalan lancar tanpa menjejaskan penyampaian perkhidmatan kepada orang ramai.
"Setakat ini, pengeluaran posport versi baharu sudah dilaksanakan di 49 pejabat imigresen di seluruh negara dan akan diperluaskan ke 22 pejabat lagi mengikut jadual pelaksanaan yang ditetapkan," katanya.
























