BH Online
Ringkasan Berita

KPDN teliti undang-undang beri hak pengguna akses maklumat teknikal kenderaan

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang mengkaji pelaksanaan konsep ‘Right to Repair’ (hak membaiki) bagi pemilik kenderaan mendapatkan maklumat teknikal daripada pengeluar untuk penyelenggaraan dan pembaikan di bengkel pilihan mereka.
KPDN teliti undang-undang beri hak pengguna akses maklumat teknikal kenderaan

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Datuk Dr Fuziah Salleh. Gambar fail

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang mengkaji pelaksanaan konsep 'Right to Repair' (hak membaiki) bagi pemilik kenderaan mendapatkan maklumat teknikal daripada pengeluar untuk penyelenggaraan dan pembaikan di bengkel pilihan mereka.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh, berkata ketika ini pengguna bebas memilih bengkel selepas tempoh waranti tamat, namun bengkel berkenaan berdepan kekangan kerana tidak mempunyai akses kepada maklumat teknikal dimiliki pengeluar kenderaan.

"Jika dalam tempoh waranti, pengguna digalak menggunakan bengkel pengeluar bagi mengelak waranti terbatal, tetapi selepas tempoh itu tamat, pengguna ada pilihan menggunakan bengkel lain.

"Jika tidak berpuas hati dengan perkhidmatan diterima, mereka boleh membuat tuntutan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) dan itu antara perlindungan disediakan kepada pengguna.

"Bagaimanapun, bengkel yang dipilih pengguna itu tidak ada akses kepada maklumat teknikal yang disediakan pengeluar kereta.

"Pada masa ini, negara kita belum ada punca kuasa untuk mendapatkan akses kepada maklumat itu dan perkara ini sedang dipertimbangkan dalam konteks hak pengguna," katanya menjawab soalan Tan Sri Low Kian Chuan pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara, hari ini.

Fuziah berkata, kementerian berpandangan sudah tiba masanya satu kajian menyeluruh dijalankan bagi meneliti keperluan mewujudkan kerangka perundangan berkaitan 'Right to Repair', termasuk kemungkinan memperkenalkan peraturan mengikut Akta Perlindungan Pengguna 1999.

Katanya, pelaksanaan konsep itu perlu mengimbangi hak pengguna mendapatkan maklumat teknikal dengan hak harta intelek dimiliki pengeluar kenderaan.

"Saya sendiri berpendapat dan kementerian juga bersetuju bahawa hak ini harus kita cuba beri kepada pengguna dan satu kajian perlu dilaksanakan.

"Kita perlu seimbangkan antara hak pengeluar dan hak pengguna untuk mendapatkan akses kepada maklumat berkaitan kenderaan mereka miliki.

"Itulah langkah sedang dikaji kerana ketika ini ia belum ada dalam kerangka perundangan negara," katanya.

Beliau berkata, KPDN turut membuat kajian penanda aras terhadap pelaksanaan 'Right to Repair' di negara seperti United Kingdom, Kanada, Australia dan Amerika Syarikat bagi mengenal pasti amalan terbaik sebelum sebarang dasar diperkenalkan di Malaysia.

"Setiap negara ada kerangka perundangan, tahap kesedaran pengguna dan ekosistem industri yang berbeza, justeru kajian itu penting bagi memastikan model sesuai dapat dilaksanakan di Malaysia.

"Langkah ini juga diharap dapat meningkatkan daya saing bengkel tempatan melalui akses kepada maklumat teknikal tanpa menjejaskan aspek keselamatan, hak harta intelek dan kepentingan semua pihak," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan