BH Online
Ringkasan Berita

'Ini kali terakhir naik lori, lepas ni nak rehat', pesanan Haikal sebelum nahas

TANAH MERAH: “Ini kali terakhir naik lori, lepas ni nak rehat.”
'Ini kali terakhir naik lori, lepas ni nak rehat', pesanan Haikal sebelum nahas

Shazleen menunjukkan gambar bersama adiknya, Allahyarham Mohd Haikal yang maut selepas lori membawa muatan ayam dinaikinya bersama dua lagi mangsa merempuh sebuah treler di Batu 7, Batang Merbau, Lebuhraya Timur-Barat, awal pagi tadi. - Foto NSTP/Hazira Ahmad Zaidi

TANAH MERAH: "Ini kali terakhir naik lori, lepas ni nak rehat."

Itulah kata-kata yang masih terngiang-ngiang di telinga Shazleen Hanifah, 32, kakak kepada Allahyarham Mohd Haikal, 29.

Mohd Haikal antara tiga mangsa yang maut selepas lori muatan ayam yang dinaiki merempuh treler di Batu 7, Batang Merbau Lebuhraya Timur Barat, awal pagi tadi.

Shazleen berkata adiknya itu sebelum ini bekerja di pasar borong di Tanah Merah, namun sejak beberapa hari lalu tidak mempunyai pekerjaan dan rakannya yang turut maut dalam kemalangan itu mengajaknya untuk menemaninya ke utara untuk mengambil bekalan ayam pada Jumaat lalu.

"Arwah adik kemudiannya menerima pelawaan rakannya (Mohammad Zakwan Mohd Nor) untuk bekerja sebagai kelindan lori dan sepatutnya semalam dia sudah balik ke rumah.

"Arwah sempat berbual dengan salah seorang abang ketika berselisih di tepi jalan semalam dan memaklumkan ini kali terakhir dia naik lori kerana mahu berehat selepas itu.

"Bagaimanapun, saya langsung tidak sangka kata-kata itu benar-benar menjadi kenyataan. Memang itulah kali terakhir dia menaiki lori dan berehat untuk selama-lamanya," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Tanah Merah, di sini, hari ini.

Katanya lebih memilukan seluruh ahli keluarga berkumpul di rumah semalam untuk mengadakan jamuan laksa, namun arwah tidak sempat menyertai kami dan makan bersama.

"Pada ketika itu, kami semua adik-beradik berkumpul makan laksa. Kami tunggu dia balik, tetapi dia tidak muncul. Ibu cuma beritahu dia tidak tahu Haikal akan pulang jam berapa.

"Tidak lama kemudian kami dikejutkan dengan berita yang Haikal terbabit dalam kemalangan," katanya dalam nada sebak.

Shazleen berkata arwah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang Kijang selepas selesai proses bedah siasat.

Terdahulu media melaporkan, seorang pemandu dan dua kelindan lori ayam maut selepas merempuh sebuah treler yang diparkir di tepi jalan di Batu 7, Batang Merbau, Lebuh raya Timur Barat, awal pagi tadi

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, mangsa Norazeman Abdul Aziz, 42, Mohd Haikal Hanifah, 29, dan Mohammad Zakwan Mohd Nor, 25, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Video Terkini

Berita Berkaitan