REMBAU: Mungkin ada yang meragui kemampuan Danish Nazran Murad merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chembong atas faktor usianya, namun calon Pakatan Harapan (PH) itu yakin untuk melakukan kejutan.
Menjadi calon termuda bertanding pada usia 27 tahun, Danish yang mewakili PKR pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ini nyata bersemangat memberi saingan sengit kepada lawan dalam persaingan satu lawan satu berdepan penyandang daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Zaifulbahri Idris.
"Saya calon muka baharu kali pertama bertanding pilihan raya. Jika dilihat dari segi usia, saya memang muda berbanding lawan iaitu penyandang yang menguasai kerusi DUN Chembong selama tiga penggal. Pastinya ia satu tugas besar untuk saya mengalahkan beliau dalam kubu kuatnya.
"Namun, jangan hanya lihat pada usia saya. Meskipun baru bertanding pilihan raya, saya berpengalaman membantu jentera dan ia boleh digunakan bagi menghadapi PRN ini," katanya selepas sesi tinjauan mesra di Medan Selera Chembong di sini, hari ini.
Danish yang juga peserta misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla 2.0, mengakui terkejut apabila dicalonkan bertanding di Chembong oleh kepimpinan tertinggi PKR.
"Saya terperanjat apabila nama naik pada peringkat tertinggi kerana tidak terfikir langsung dipilih bertanding.
"Amanah ini besar, saya mengambil pendekatan turun padang bagi mendekati pengundi supaya boleh mengetahui segala masalah dihadapi, selain memberi tumpuan kepada isu berkaitan golongan muda.
"Sebagai anak muda, saya menitikberatkan aspek peluang pekerjaan kepada golongan muda di kawasan ini.
"Saya mahu masyarakat melihat potensi saya selaku anak muda dan memberi peluang untuk kita bersama-sama membangunkan Chembong," katanya.
























