CYBERJAYA: Keputusan sama ada seseorang menteri atau anggota pentadbiran kerajaan perlu digugurkan daripada jawatan adalah hak mutlak Perdana Menteri, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri berkata, tiada keperluan untuk mana-mana menteri atau timbalan menteri meletakkan jawatan sekiranya Perdana Menteri mempunyai maklumat yang mengesahkan berlaku pelanggaran disiplin dalam kalangan anggota pentadbiran.
"Kuasa pelantikan itu adalah hak mutlak Perdana Menteri.
"Jadi kalau Perdana Menteri mengesyaki ataupun dapat maklumat yang benar, itu adalah kuasa mutlak Perdana Menteri dan tak perlu sesiapa pun meletakkan jawatan," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Sambutan Hari Imigresen Ke-104 di sini, hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini memberi amaran mana-mana menteri, timbalan menteri dan pemegang jawatan dalam agensi kerajaan supaya tidak menggunakan kedudukan mereka untuk menyerang rakan dalam Kerajaan Persekutuan ketika berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Katanya, mana-mana pihak berkaitan yang melakukan perkara berkenaan akan diminta berundur daripada jawatan yang disandang.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid menegaskan, perkara berkaitan pelantikan dan pemecatan adalah hak prerogatif Perdana Menteri.
"Itu prerogatif Perdana Menteri," katanya ringkas.
























