KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) khusus berkaitan kecerdasan buatan (AI) akan dibawa ke Dewan Rakyat selepas semua proses perbincangan di peringkat kementerian, agensi berkaitan serta Jemaah Menteri selesai.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, berkata pengalaman kerajaan dalam menggubal Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 hasil pelbagai sesi libat urus sebelum ini menjadi asas kepada pendekatan sama dalam menyediakan kerangka perundangan bagi mengawal selia teknologi baharu termasuk AI.
"Contohnya pengalaman kita dalam perbincangan sebelum ini membolehkan pihak kerajaan melalui beberapa jawatankuasa merangka dan seterusnya membawa ke Dewan Rakyat dan Dewan Negara berkaitan Akta Keselamatan Dalam Talian.
"Itu hasil daripada banyak perbincangan termasuk dalam forum dan sesi libat urus. Jadi kita lihat perkara sama boleh dilakukan bagi teknologi baharu seperti AI," katanya pada sidang media, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC) 2026, di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.
Sebelum ini, Menteri Digital, Gobind Singh Deo dalam Dewan Rakyat memaklumkan RUU Tadbir Urus AI yang sedang digubal akan memperkukuh aspek pencegahan dan akauntabiliti dalam bidang itu.
Katanya, RUU itu akan terpakai sepanjang kitar hayat AI termasuk memastikan pihak yang membangun, menyedia, mengguna atau mengendalikan sistem AI mengambil langkah tadbir urus munasabah dan bersesuaian dengan tahap risiko sistem itu.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata RUU itu perlu dilaksanakan memandangkan teknologi berkenaan berkembang dengan pantas serta membawa manfaat dan risiko kepada masyarakat.
Katanya, kerajaan tidak mahu pendekatan kawal selia itu dilihat sebagai menghalang inovasi atau pelaburan teknologi, sebaliknya memastikan pembangunan AI berlaku secara bertanggungjawab.
"Kita tidak mahu memberikan isyarat bahawa kita tidak mahu teknologi ataupun pelaburan. Kita mahu teknologi dan pelaburan yang bukan sahaja mendatangkan manfaat tetapi mengelakkan mudarat," katanya.
Dalam pada itu, Fahmi berkata sementara menunggu undang-undang khusus AI digubal, badan kawal selia termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan terus mengambil tindakan berdasarkan kerangka undang-undang sedia ada.
Sebagai contoh, katanya, MCMC sebelum ini mengambil tindakan terhadap platform X selepas teknologi AI Grok didapati boleh menghasilkan imej tidak sesuai yang disalahgunakan pengguna.
"MCMC menghubungi pihak X supaya beberapa ciri kawalan atau guardrails diletakkan dan perkara itu sudah dilaksanakan," katanya.
Beliau berkata, kerajaan turut mengambil kira pendekatan negara lain dalam mengawal selia AI, namun tidak semua kaedah akan diterima kerana ia perlu disesuaikan dengan keperluan tempatan.
Mengulas mengenai kebimbangan penyalahgunaan AI untuk mengubah suai gambar individu tanpa kebenaran, beliau berkata pengguna yang menjadi mangsa boleh membuat laporan kepada platform berkaitan atau MCMC untuk tindakan lanjut.
Katanya, sekiranya jumlah aduan meningkat secara ketara, kerajaan mempunyai beberapa mekanisme tindakan seperti yang pernah dilakukan terhadap penyalahgunaan teknologi AI sebelum ini.
























