ALOR SETAR: Sistem amaran awal di kawasan rekreasi sungai dikenal pasti antara aspek yang perlu ditambah baik susulan kejadian kepala air yang mengorbankan tiga nyawa di Sungai Sedim, Kulim, Jumaat lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar negeri, Datuk Mohamad Yusoff@Munir Zakaria, berkata langkah lain yang turut dikenal pasti ialah pemasangan papan tanda amaran, penguatkuasaan peraturan keselamatan serta penyelenggaraan berkala sistem amaran awal.
"Tindakan bersepadu secara proaktif dan holistik membabitkan kerajaan, pengusaha pusat rekreasi serta orang ramai diperlukan bagi meningkatkan aspek keselamatan di kawasan rekreasi sungai bagi mengelak kejadian sama berulang.
"Beberapa langkah sudah dikenal pasti untuk ditambah baik termasuk sistem amaran awal papan tanda amaran dan penguatkuasaan peraturan keselamatan, selain penyelenggaraan berkala sistem amaran awal," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Beliau berkata, orang ramai juga perlu mempunyai kesedaran serta pengetahuan mengenai tanda awal kejadian kepala air.
Katanya, antara tanda yang perlu diberi perhatian ialah air sungai tiba-tiba berbuih, berubah warna, keruh atau berlumpur, terasa panas di bahagian bawah aliran air selain terdapat banyak dedaun kering dan ranting kayu hanyut dalam jumlah luar biasa.
"Tanda lain ialah terdengar bunyi dentuman kuat dari hulu sungai atau paras air turun secara mendadak.
"Jika melihat tanda-tanda itu, segera melarikan diri ke tempat selamat," katanya.
Mohamad Yusoff turut menyarankan orang ramai menyemak ramalan cuaca Jabatan Meteorologi Malaysia sebelum berkelah di kawasan sungai.
Katanya, aktiviti itu perlu dielakkan pada musim hujan kerana risiko kepala air masih tinggi walaupun cuaca kelihatan cerah.
Media sebelum ini melaporkan tiga individu maut selepas dihanyutkan arus deras ketika kejadian kepala air di pusat peranginan Sungai Sedim, Kulim, Jumaat lalu.
Dalam kejadian itu, tiga mangsa maut, Nur Atikah Abdullah, 28, sepupunya, Muhammad Aariz Danial Md Radzi, 3, dan seorang lagi pengunjung kanak-kanak, Muhammad Uzair Ahmadi Hussain, 12.
Nur Atikah yang datang ke pusat peranginan Sungai Sedim itu bersama kira-kira 15 ahli keluarga termasuk ibu bapanya dikatakan sempat menyambut hari lahir anak tunggalnya, Nur Atiya Sofiya Shazwan, 7, di situ sebelum kejadian kepala air berlaku kira-kira jam 2 petang.
























