JEMPOL: Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Datuk Fahmi Fadzil, membidas bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang didakwa menggunakan isu Melayu dan Islam bagi menghidupkan pengaruh politiknya selepas kembali ke pangkuan UMNO.
Kenyataan Khairy atau KJ, katanya, yang mengaitkan persefahaman antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) sebagai isyarat supaya PH lebih peka terhadap sensitiviti orang Melayu dianggap tidak mengejutkan.
"Kita biarkanlah KJ nak bertapak semula. Dia keluar (UMNO) agak lama dan nak mulakan balik asas politiknya.
"Jadi dia akan mengeluarkan apa sahaja kenyataan yang dirasa perlu supaya keberadaan dia dapat dilihat oleh orang ramai," katanya kepada pemberita selepas Program Ziarah Kasih di FELDA Palong 2 di sini, malam tadi.
Mengulas dakwaan Khairy bahawa Kerajaan Persekutuan kurang peka terhadap isu membabitkan Melayu, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi menegaskan, isu mempertahankan hak orang Melayu dan agama Islam bukan dimonopoli mana-mana individu atau parti.
"Saya sebagai seorang Melayu sangat peka dan sensitif terhadap pelbagai perkara yang disebut. Bukan KJ seorang yang tahu pasal isu Melayu.
"Arwah datuk dan arwah nenek saya orang UMNO. Arwah nenek saya orang kuat UMNO dan kuat memperjuangkan nasib orang Melayu serta agama Islam. Takkan saya tinggalkan perkara seperti itu," katanya.
Sehubungan itu, Fahmi mengingatkan Khairy supaya tidak membina naratif yang menggambarkan seolah-olah Pakatan Harapan (PH) tidak mempunyai pemimpin Melayu Islam.
"(Datuk Seri) Anwar Ibrahim bukan Melayu Islam? (Datuk Seri) Mohamad Sabu bukan Melayu Islam? (Datuk Seri Dr) Dzulkefly Ahmad bukan Melayu Islam? (Datuk Seri) Amirudin Shari, (Datuk Seri) Aminuddin Harun bukan Melayu Islam?
"Hentikanlah bermain dengan kepalsuan ini. Ingat, sebagai seorang Muslim, setiap yang kita kata sekiranya dusta maka ada balasan di akhirat.
"Pesanan saya kepada Khairy, berpada-padalah. Jangan keterlaluan sehingga seolah-olah menidakkan kewujudan pemimpin Melayu Islam dalam Pakatan Harapan semata-mata untuk meraih sokongan politik," katanya.
Khairy sebelum ini dilaporkan berkata, persefahaman BN-PN pada PRN Negeri Sembilan memberi mesej kepada PH supaya lebih peka terhadap sensitiviti orang Melayu serta menunaikan beberapa janji yang dibuat sebelum ini.
























