KUALA LUMPUR: FGV Holdings Berhad (FGV) memperkukuh peranan industri sawit negara dalam agenda tenaga boleh diperbaharui apabila memperluaskan ujian penggunaan biodiesel tulen B100 kepada jentera perladangan.
Ia sekali gus membuka lembaran baharu dalam usaha mempelbagaikan penggunaan minyak sawit di luar sektor makanan dan oleokimia.
Langkah itu bukan sekadar menguji prestasi bahan api alternatif, malah menjadi sebahagian daripada strategi jangka panjang syarikat untuk membuktikan, biodiesel sawit mampu digunakan secara praktikal dalam operasi sebenar sebelum dipertimbangkan untuk pelaksanaan berskala lebih besar.
Pengarah Bahagian Perladangan Kumpulan FGV, Izham Mustaffa, berkata syarikat mengambil pendekatan berperingkat dalam menilai potensi B100 dengan memulakan ujian terhadap lori tangki dan kenderaan penumpang sebelum beralih kepada jentera perladangan.
Katanya, setiap fasa memberi peluang kepada FGV memperoleh pengalaman dan hasil penilaian operasi yang menjadi asas kepada langkah seterusnya.
"Langkah paling logik selepas ini ialah menguji B100 di lokasi yang menjadi teras perniagaan FGV iaitu ladang.
"Di sinilah jentera seperti traktor, jentera penggerak utama, mini traktor, jengkaut pemuat, jengkaut, 'mechanical buffalo' dan kenderaan perkhidmatan ladang digunakan setiap hari.
"Jentera ini beroperasi dalam keadaan jauh lebih mencabar, berbanding kenderaan di jalan raya kerana digunakan dalam tempoh panjang, membawa muatan berat dan bergerak di kawasan berbukit serta permukaan tidak rata," katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata FGV tidak terus melaksanakan penggunaan B100 secara besar-besaran tanpa penilaian yang kukuh mengenai prestasi bahan api itu.
Sebaliknya katanya, projek perintis yang dijalankan di ladang Pusat Penyelidikan Pertanian Tun Razak (PPPTAR), Tekam, Jerantut itu bertujuan mengesahkan prestasi teknikal, kesesuaian operasi dan daya maju ekonomi biodiesel berkenaan dalam keadaan sebenar.
"Keputusan yang dibuat mesti berpandukan data operasi dan pengalaman sebenar, bukannya andaian," katanya.
Izham berkata, penggunaan jentera ladang yang beroperasi secara berterusan dalam pelbagai keadaan cuaca membolehkan FGV menilai pelbagai aspek penting, termasuk prestasi enjin, penggunaan bahan api, keperluan penyelenggaraan, kebolehpercayaan peralatan dan keberkesanan operasi secara keseluruhan.
Namun katanya, sebelum B100 boleh digunakan secara meluas, syarikat perlu memastikan prestasinya konsisten bagi pelbagai kategori jentera selain menilai aspek penyimpanan, pengendalian serta bekalan bahan api supaya tidak menjejaskan operasi harian ladang.
Sekiranya keputusan projek perintis itu positif, katanya penggunaan B100 boleh diperluaskan secara berperingkat kepada lebih banyak jentera ladang dan aset berkuasa diesel lain dalam ekosistem FGV dan FELDA.
"Data yang dikumpulkan akan membantu kami membuat keputusan lebih tepat mengenai aplikasi bahan api boleh diperbaharui, selain mengurangkan kebergantungan kepada diesel konvensional dan memperkukuh daya tahan operasi perladangan pada masa depan," katanya.
Tambah beliau, kejayaan projek itu juga berpotensi membuka peluang penggunaan B100 dalam armada pengangkutan ladang, jentera mekanisasi, peralatan kejuruteraan dan pelbagai aset diesel lain di seluruh ekosistem FELDA.
Perkukuh keselamatan tenaga
Sementara itu, Pengarah Bahagian Minyak dan Lelemak Kumpulan FGV, Zulkifli Othman, berkata landskap tenaga dunia kini berubah dengan pantas berikutan, perkembangan geopolitik, gangguan rantaian bekalan dan ketidaktentuan harga bahan api.
Beliau berkata, keadaan itu menjadikan usaha memperkukuh keselamatan tenaga negara semakin penting, sekali gus membuka peluang kepada Malaysia memanfaatkan minyak sawit sebagai sumber tenaga boleh diperbaharui.
"Selama ini minyak sawit sinonim dengan makanan dan produk pengguna, namun biodiesel membuktikan komoditi ini juga berpotensi besar dalam sektor tenaga.
"Industri hari ini jauh lebih bersedia berbanding sedekad lalu hasil kemajuan teknologi, peningkatan kapasiti pengeluaran dan kerjasama lebih kukuh dalam industri," katanya.
Beliau berkata, projek itu juga membuktikan kekuatan model perniagaan bersepadu FGV apabila anak syarikatnya, FGV Biotechnologies Sdn Bhd, menghasilkan sendiri biodiesel B100 yang kemudian diuji dalam operasi ladang syarikat.
Katanya, pendekatan itu mewujudkan kitaran maklum balas yang membolehkan pengeluar memperoleh input terus daripada pengguna sebenar mengenai prestasi bahan api serta aspek yang perlu ditambah baik.
"Tidak banyak organisasi mempunyai keupayaan untuk menghasil, membekal dan menilai bahan api boleh diperbaharui dalam keseluruhan rantaian nilai di bawah satu organisasi.
"Pendekatan bersepadu ini mempercepat proses pembelajaran dan membantu membuat keputusan yang lebih baik daripada sudut teknikal serta komersial," katanya.
Jelas beliau, penggunaan biodiesel secara lebih meluas mampu memperluaskan peranan minyak sawit ke sektor tenaga, sekali gus mewujudkan permintaan domestik yang lebih kukuh terhadap produk berasaskan sawit dan membuka peluang hiliran bernilai tinggi.
Inisiatif berkenaan katanya, bukan sekadar menghasilkan bahan api baharu, tetapi memahami bagaimana inovasi boleh mencipta permintaan baharu terhadap minyak sawit Malaysia serta meningkatkan daya saing industri dalam jangka panjang.
Malah katanya, kejayaan komersial sesuatu produk bergantung kepada keyakinan pasaran terhadap prestasi sebenar dan bukannya keputusan ujian makmal semata-mata.
"Melalui projek ini, kami dapat menilai kesesuaian operasi B100 dan membina keyakinan pelanggan serta pemain industri terhadap potensi komersialnya," katanya.
Ketua Pegawai Strategi FGV, Abbas Ariff pula berkata, B100 mempunyai kepentingan strategik yang lebih besar kerana meletakkan FGV sebagai pemain penting dalam agenda peralihan tenaga negara selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan komitmen perubahan iklim Malaysia.
Menurutnya, biodiesel bukan sekadar bahan api boleh diperbaharui, malah membuka laluan baharu kepada industri sawit untuk mengurangkan kebergantungan terhadap diesel fosil, mewujudkan peluang hiliran baharu serta meningkatkan manfaat kepada peneroka FELDA dan pekebun kecil.
Beliau berkata, projek itu mencerminkan hasrat FGV untuk berkembang daripada syarikat perladangan tradisional kepada kumpulan agri perindustrian yang berpaksikan inovasi, sains, teknologi dan kelestarian.
"Dunia pertanian, tenaga dan kelestarian berubah dengan pantas dan jika terus bergantung kepada kaedah lama, kita berisiko kehilangan peluang dan tidak bersedia menghadapi perubahan kos bahan api, dasar kerajaan serta tuntutan pasaran global," katanya.
Projek perintis tersusun
Oleh itu Abbas berkata, setiap inovasi perlu dibuktikan melalui projek perintis yang tersusun.
"Kami perlu mendapatkan data yang kukuh mengenai kualiti bahan api, prestasi enjin, kos penyelenggaraan, keselamatan, penerimaan pengguna dan keberkesanan operasi sebelum sebarang pelaksanaan berskala besar dilakukan," katanya.
Pengerusi FGV, Datuk Abu Huraira Abu Yazid, berkata Malaysia mempunyai kelebihan besar kerana memiliki ekosistem sawit yang lengkap merangkumi sektor perladangan, pemprosesan, bioteknologi, logistik dan industri hiliran.

Katanya, projek B100 selari dengan Dasar Biofuel Negara dan NETR, selain menunjukkan bagaimana sebuah syarikat agri perniagaan bersepadu boleh menyumbang kepada aspirasi negara melalui inovasi.
Beliau berkata, sebagai syarikat yang lahir daripada ekosistem FELDA, FGV bertanggungjawab memastikan inovasi yang dibangunkan mampu mewujudkan nilai mampan kepada lebih 112,000 keluarga peneroka.
"Lima tahun dari sekarang, kami berharap kita tidak lagi bercakap mengenai kejayaan projek perintis semata-mata, tetapi bagaimana pengetahuan yang diperoleh berjaya membentuk masa depan bahan api boleh diperbaharui dalam operasi FGV dan FELDA.
"Kami juga berharap akan wujud kerjasama lebih erat antara industri, pembuat dasar, penyelidik dan penyedia teknologi supaya inovasi seperti B100 dapat diterima pakai dengan lebih meluas.

"Ini kerana kejayaan sebenar bukan hanya diukur melalui peningkatan penggunaan biodiesel, tetapi melalui penciptaan nilai baharu dalam rantaian industri sawit, pengukuhan daya saing negara serta memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju global dalam industri minyak sawit mampan," katanya.
Pelancaran fasa baharu percubaan B100 dalam operasi perladangan FGV ini telah disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 7 Julai 2026 sempena sambutan Festival FGV di bawah Hari Peneroka FELDA 2026 di Bandar Pusat Jengka, Pahang.
Menerusi pelbagai pameran, demonstrasi dan aktiviti yang menampilkan segmen perladangan, minyak dan lelemak, gula, logistik serta produk pengguna di Festival FGV, lebih 12,000 pengunjung berpeluang mempelajari bagaimana ekosistem perniagaan bersepadu FGV menjana nilai dalam ekosistem FELDA dan memberi manfaat kepada komuniti peneroka.
Antara tarikan utama Festival FGV ialah Warung FGV, yang menyajikan pelbagai hidangan menggunakan produk keluaran FGV seperti SAJI, SERI PELANGI dan GULA PRAI. Pengunjung juga berpeluang meneroka pameran B100, menyaksikan paparan teknologi dan demonstrasi masakan, selain menikmati jualan produk pengguna pada harga promosi istimewa serta menyertai pelbagai aktiviti dan kuiz interaktif sepanjang dua hari sambutan.
























