BH Online
Ringkasan Berita

Perang AS-Iran: Agensi umrah rugi jemaah tangguh, batal perjalanan

KUALA LUMPUR: Konflik Asia Barat yang kembali memuncak menyebabkan agensi umrah berdepan risiko rugi besar apabila penerbangan digantung pada saat akhir, selain jemaah mengambil langkah membatal atau menangguh perjalanan ibadat masing-masing.
Perang AS-Iran: Agensi umrah rugi jemaah tangguh, batal perjalanan

Foto hiasan. - Fail NSTP

KUALA LUMPUR: Konflik Asia Barat yang kembali memuncak menyebabkan agensi umrah berdepan risiko rugi besar apabila penerbangan digantung pada saat akhir, selain jemaah mengambil langkah membatal atau menangguh perjalanan ibadat masing-masing.

Beberapa agensi umrah mengakui laporan pembatalan penerbangan oleh syarikat tertentu, sejak minggu lalu mencetuskan panik dalam kalangan jemaah umrah hingga ada rombongan skala besar membatal perjalanan menyebabkan kerugian ditanggung mencecah ratusan ribu ringgit.

Antara kerugian terpaksa diserap agensi umrah adalah deposit tiket penerbangan, bayaran tempahan hotel, pengangkutan di Tanah Suci, mutawif dan pelbagai kos lain.

Ketua Pegawai Eksekutif KRS Travel, Mohamad Ssunaibari Mohd Khalil, berkata setakat ini, penerbangan umrah membabitkan jemaah Malaysia masih berjalan seperti biasa, namun ketidaktentuan perang di Asia Barat dijangka memberi kesan jangka panjang kepada kelangsungan operasi secara keseluruhan.

bhumrah212
Mohamad Ssunaibari.

"Setahu saya, ketika ini hanya satu syarikat penerbangan membatalkan penerbangan ke Jeddah iaitu penerbangan tambang murah, Scoot, itu pun bagi penerbangan dari Singapura berkuat kuasa 16 hingga 27 Julai ini.

"Walaupun setakat ini tak membabitkan penerbangan dari Malaysia, tapi risiko terlampau besar untuk agensi pelancongan, antaranya jika berlaku pemberhentian penerbangan, apatah lagi insurans penerbangan juga telah naik sekali ganda.

"Kesan sudah nampak sekarang, majoriti jemaah ambil sikap tunggu dan lihat dengan kebanyakannya hanya daftar saat akhir. Jadi agensi umrah sukar untuk buat anggaran berapa ramai jemaah akan diuruskan setiap bulan," katanya kepada BH.

Situasi di Asia Barat dilaporkan kembali bergolak dengan Amerika Syarikat (AS), Khamis lalu melancarkan serangan baharu ke atas Iran, yang menyasarkan jambatan dan infrastruktur pengangkutan, dengan Tehran membalas menerusi serangan ke atas sekutu musuh di Teluk.

Pertempuran itu tercetus semula hanya sebulan selepas termeterainya perjanjian awal yang bertujuan menamatkan konflik, susulan serangan besar-besaran AS dan Israel terhadap Iran pada penghujung Februari lalu.

Mengulas lanjut, Mohamad Ssunaibari berkata, bagi memastikan kelangsungan dan merancakkan kembali operasi umrah, semua pihak berkaitan, terutama syarikat penerbangan perlu mengambil langkah segera dengan menurunkan harga tiket penerbangan.

"Ini perlu kepada situasi menang-menang. Kalau syarikat penerbangan nak penuhkan pesawat kerana mereka juga perlu fikir kos operasi, penyelenggaraan dan sebagainya, haruslah untuk meminimumkan keuntungan dalam situasi tidak menentu ini.

"Banyak syarikat penerbangan global sudah mengurangkan pekerja dan memberhentikan operasi akibat tanggung rugi dan agensi umrah pun faham situasi ini, tetapi sekurang-kurangnya dengan turunkan harga tiket, kedua-dua pihak, masih boleh teruskan operasi.

"Dengan cara ini, ejen yang jual tiket dengan harga murah dan tak masuk akal juga dapat dihapuskan, kerana mereka ini adalah 'scammer' yang merosakkan pasaran, belum dikira trend umrah DIY (pergi sendiri), ini yang hancurkan kelangsungan banyak agensi umrah," katanya.

Tanggung rugi RM700,000

Sementara itu, Pengarah Urusan Raef Travel & Tours, Ahmad Kailani Zahari, mengakui syarikatnya turut berdepan kerugian mencecah RM700,000 susulan ketegangan di Asia Barat yang turut mencetuskan panik hingga ada rombongan jemaah membatalkan pemergian ke Tanah Suci pada saat akhir.

Katanya, realitinya keadaan di Arab Saudi khususnya Makkah dan Madinah masih terkawal dengan pergolakan hanya membabitkan beberapa negara Arab sekitar Arab Saudi terutama penerbangan transit di negara yang terbabit.

"Situasi ini memang beri kesan besar, misalnya ada satu rombongan pelajar dijadual berlepas bulan ini, 80 orang dengan nilai keseluruhan RM700,000 dibatalkan, sedangkan semua urusan berkaitan sudah dibuat, namun kami tak ada pilihan selain pulangkan semula wang deposit.

"Keadaan sebenarnya masih terkawal, cuma jemaah bimbang dengan pergolakan yang dilaporkan, jadi mereka ambil pendekatan tangguh dulu umrah.

"Kami difahamkan memang ada negara sekitar Iran yang terjejas seperti Kuwait dan Dubai susulan perang kembali meletus minggu ini, tetapi ia membabitkan penerbangan transit ke negara terbabit, untuk penerbangan terus termasuk ke Jeddah, kebanyakannya masih berjalan seperti biasa," katanya.

Tambahnya, ketika ini, hampir sukar untuk mencari jemaah kerana ramai yang bimbang soal keselamatan dan memilih untuk menangguhkan untuk menunaikan ibadat itu.

"Ramai yang tanya dan berminat nak pergi umrah, tapi disebabkan situasi di Asia Barat kembali bergolak, ada jemaah yang sudah mendaftar minta tangguh, yang belum daftar terus batalkan hasrat itu.

"Sebab itu, satu daripada punca media sosial kerana bercampur penyebaran informasi yang betul dan salah menyebabkan kerisauan jemaah makin tinggi.

"Contohnya dua hari lalu saya terbaca hantaran mengatakan semua penerbangan ke Jeddah tergendala. Jadi jemaah yang dalam proses pendaftaran menghubungi kami minta penjelasan, sedangkan ruang udara Arab Saudi dan sekitarnya masih aktif, tidak ditutup pun," katanya.

'Rahmat' kepada agensi skala kecil, sederhana

Konflik Asia Barat yang kembali memuncak disifatkan 'rahmat' kepada agensi umrah skala kecil dan sederhana, berikutan harga tiket penerbangan yang selama ini dijual mahal mencecah sehingga RM5,200 seorang kerana dibolot syarikat gergasi, kembali menurun kepada RM2,500 hingga RM3,700.

Sumber mendakwa, tiket penerbangan selama ini dikuasai hampir 10 agensi umrah gergasi di negara ini yang membolot dengan ada di antaranya membeli sehingga lebih 100,000 tempat duduk bagi sepanjang musim umrah setiap tahun.

Katanya, tindakan membolot tiket penerbangan itu menyebabkan BH, menyebabkan harga pakej umrah melambung, bahkan memberi tekanan kepada operator umrah kecil-kecilan yang terpaksa mengemis tiket daripada ejen yang dilantik agensi gergasi.

Namun, disebabkan perang Asia Barat kembali memuncak, permintaan menunaikan ibadat umrah mencatatkan penurunan ketara berikutan penangguhan dan pembatalan perjalanan, ejen dilantik agensi umrah gergasi yang mendominasi pasaran tiket penerbangan terpaksa menurunkan harga bagi mengelak menanggung kerugian besar.

"Jadi ada hikmahnya juga bila situasi di Asia Barat kembali tegang, bila orang ramai bimbang nak buat umrah, ejen dilantik agensi umrah besar yang selama ini bolot tiket penerbangan dengan membayar deposit tertentu tak dapat lagi nak tekan agensi umrah kecil.

"Malah, mereka pula yang terpaksa mengiklan penurunan harga besar-besaran di pelbagai platform media sosial, terutama dalam group agensi umrah kerana terdesak untuk jual tiket. Jika tak terjual, deposit mereka lesap malah dikenakan pula penalti oleh syarikat penerbangan," katanya kepada BH.

Kaut untung RM120 juta

Mengulas lanjut, sumber itu turut memberitahu, ada dalam kalangan syarikat umrah gergasi mengaut keuntungan sehingga RM120 juta bagi setiap musim umrah hanya dengan taktik membolot atau membeli tiket penerbangan secara pukal.

"Satu syarikat umrah besar beli sehingga 100,000 atau sekurang-kurangnya 80,000 tiket penerbangan umrah setahun. Ada yang beli tiket pada kadar RM2,600, tetapi mark up dan jual semula pada ejen dengan harga RM3,000.

"Ejen terbabit pula jual pada ejen lain dan naikkan harga lagi hingga ada satu tiket penerbangan cecah RM5,000," katanya yang turut mendakwa, hanya sekitar 30 peratus tiket penerbangan sepanjang musim umrah yang masih berbaki dan boleh dibeli secara terus melalui syarikat penerbangan.

Sumber sama turut menegaskan, kegiatan mengambil untung atas angin dengan menjual balik tiket yang dibeli secara awam dalam jumlah besar bukan hanya merosakkan pasaran terbuka tetapi menyebabkan manipulasi harga yang turut memberi kesan kepada jemaah.

"Sebab itu kita timbulkan kesedaran supaya agensi umrah kecil dan sederhana tidak beli daripada ejen atau gergasi umrah yang kawal tiket dengan cara monopoli sebegini.

"Sekarang dalam situasi perang di Asia Barat kembali memuncak, mereka yang monopoli ini tersepit. Terpaksa turunkan harga, jadi inilah masa tepat untuk pihak berkuasa berkaitan tetapkan satu harga lantai, supaya kos seperti tiket penerbangan dapat dikawal," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan