BH Online
Ringkasan Berita

PRN NS: Manifesto mampu dipacu dengan kerjasama kerajaan negeri, Persekutuan

SEREMBAN: Barisan calon Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan yakin manifesto gabungan itu berupaya menjadi pemacu pembangunan negeri jika PH diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 1 Ogos ini.
PRN NS: Manifesto mampu dipacu dengan kerjasama kerajaan negeri, Persekutuan

Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun (tengah) bersama Timbalan Pengerusi PH, Anthony Loke (kiri) dan Pengerusi Amanah Negeri Sembilan, Datuk MK Ibrahim (kanan) ketika Majlis Pelancaran Manifesto Pakatan Harapan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Seremban. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah

SEREMBAN: Barisan calon Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan yakin manifesto gabungan itu berupaya menjadi pemacu pembangunan negeri jika PH diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 1 Ogos ini.

Mereka menyifatkan manifesto itu bukan sahaja meneruskan inisiatif sedia ada, tetapi turut membawa beberapa projek berimpak tinggi yang bakal memanfaatkan rakyat.

Antara projek diberi penekanan ialah Seremban Sentral, pembinaan Hospital Enstek, AI Midport Port Dickson, pembangunan rumah kedua FELDA serta laluan pintasan menghubungkan Senawang, Port Dickson dan Pelabuhan Klang.

Calon PH DUN Nilai, J Arul Kumar berkata selain melonjakkan sektor pengangkutan dan kesihatan, segala projek dirancang juga mampu meningkatkan peluang perniagaan serta merangsang pertumbuhan ekonomi negeri.

"Semua projek ini berskala besar dan bakal dilaksanakan dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan.

"Justeru, kita mahu mahukan apabila kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan sehaluan, itulah yang memberi impak besar kepada masyarakat di Negeri Sembilan," katanya selepas majlis peluncuran Manifesto PH di sini, malam tadi.

Calon PH DUN Rantau, Dr Azizul Hakim Mahdi, berkata pengisian manifesto PH amat dengan keperluan rakyat kerana memberi tumpuan aspek kesihatan, ekonomi, pendidikan dan kestabilan negeri.

Katanya, ia juga adalah kesinambungan prestasi pentadbiran kerajaan negeri sebelum ini yang dipimpin Datuk Seri Aminuddin Harun.

"Manifesto kali ini sangat dekat dengan rakyat sebenarnya. Dari segi kesihatan, dari segi ekonomi, pelajaran dan juga perpaduan, kestabilan di Negeri Sembilan sendiri," katanya.

Calon PH DUN Pertang, Mohd Umry Abdul Khois, menyifatkan manifesto berkenaan realistik dan diyakini mampu dilaksanakan sekiranya PH diberi mandat mentadbir Negeri Sembilan untuk tempoh lima tahun lagi.

"Manifesto ini nampak realistik dan boleh ditunaikan sekiranya PH terus diberi mandat.

"Insya-Allah, kita akan cuba merealisasikan semua manifesto yang diluncurkan dan tawaran kepada rakyat dapat direalisasikan serta memberi keselesaan dan juga memberi manfaat kepada seluruh rakyat negeri," katanya.

Aminuddin menggariskan 10 komitmen utama menerusi manifesto bertema 'Kekal Harapan' bagi PRN Negeri Sembilan Ke-16 yang dilancarkan malam tadi.

Video Terkini

Berita Berkaitan