BH Online
Ringkasan Berita

PRN NS: Jentera BN-PN mula turun kempen bersama - Idris

SEREMBAN: Persefahaman antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan semakin rancak diterjemah dengan kedua-dua jentera parti mula turun ke peringkat akar umbi untuk berkempen secara bersama.
PRN NS: Jentera BN-PN mula turun kempen bersama - Idris

Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad ketika menyampaikan ceramah umum perdana Perikatan Nasional DUN Paroi, malam tadi.

SEREMBAN: Persefahaman antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan semakin rancak diterjemah dengan kedua-dua jentera parti mula turun ke peringkat akar umbi untuk berkempen secara bersama.

Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad, berkata gerak kerja bersepadu itu mula menampakkan hasil positif di lapangan.

"Sebenarnya ia sudah bermula tetapi secara tidak formal. Semalam saya di Port Dickson dan Bagan Pinang, kita nampak 'optik' (gambaran) itu amat jelas.

"Hasil keputusan bersama, jentera pihak UMNO juga akan ke peringkat bawah untuk kempen rumah ke rumah bagi bertemu pengundi. Kita sudah mendapat restu daripada pimpinan pusat, negeri dan bahagian untuk meneruskan agenda ini.

"Masa masih panjang untuk kita menemui pengundi, menerangkan mengenai perlunya kita memastikan Negeri Sembilan ini kita (BN-PN) jaga," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan ceramah umum perdana Perikatan Nasional DUN Paroi, malam tadi.

Turut hadir, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud; Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary; Ketua Penerangan UMNO DUN Paroi, Zulkifli Muhammad dan Calon PN bagi DUN Paroi, Kamarol Ridzuan Mohd Zain.

Pada PRN Negeri Sembilan ke-16, PN melengkapkan persefahaman dengan BN apabila mengumumkan 11 calon gabungan itu akan bertanding manakala BN pula bertanding di 25 kerusi DUN.

Ditanya mengenai masa depan persefahaman antara PN dan BN selepas berakhirnya PRN Negeri Sembilan, Idris menyatakan harapan tinggi supaya ia bersifat kekal dan berpanjangan.

"Kita doakan semoga bukan setakat PRN (Negeri Sembilan) saja, sampai matilah. Kita doakan dan itu harapan kita," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan