SEREMBAN: Cadangan pembinaan Landasan Bypass Senawang-Port KLang yang terkandung dalam Manifesto Pakatan Harapan (PH) Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan mampu menjadi pemangkin baharu pembangunan ekonomi di selatan negeri itu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata projek strategik itu akan melengkapkan rangkaian pengangkutan sedia ada, sekali gus memperkukuh hubungan antara kawasan perindustrian dengan pelabuhan.
"Apabila kita merancang untuk membina landasan Bypass ini dari Senawang ke Pelabuhan Klang, ia akan memendekkan jarak dan menjadikan pengangkutan kargo lebih efisien.
"Ini selari dengan dasar 'road to rail' (jalan raya ke landasan) Kementerian Pengangkutan, iaitu kita nak menggalakkan rel mengangkut muatan kargo dari kawasan ini.
"Ia juga memenuhi hasrat kerajaan Negeri Sembilan dan manifesto kita iaitu menjadikan Negeri Sembilan sebagai sebuah negeri perindustrian," katanya di sini, malam tadi.
Beliau berkata, rancangan itu akan dimasukkan ke dalam Rolling Plan pembangunan akan datang.
"Kerangka ini dirancang bersama dan Kementerian Pengangkutan (MOT) mempunyai rancangan jangka panjang untuk merealisasikan Bypass Senawang-Port Klang.
"Di utara, kita sudah ada Bypass Serendah, jadi Bypass ini untuk mengelak rel kargo dari utara tidak perlu masuk ke Kuala Lumpur.
"Ia boleh terus memasuki Bypass Serendah hingga ke Pelabuhan Klang, dan sekarang ini dari selatan belum ada," katanya.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, mengumumkan 10 komitmen utama Manifesto PH PRN Negeri Sembilan ke-16 yang dilancarkan di sini, malam tadi.
Antara yang diumumkan ialah lima projek berimpak tinggi antaranya Pembinaan Landasan Bypass Senawang-Port Klang, Pelabuhan Antarabangsa Baharu Port Dickson, Projek TOD (Transit-Oriented Development,pertambahan komuter dua hala Seremban-Kuala Lumpur dan pembinaan Hospital Baharu di Bandar Enstek, Nilai.
























