JELEBU: Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pertang, Datuk Seri Jalaluddin Alias menafikan memberi wang kepada pengundi ketika sesi tinjauan mesra di Kampung Bemban di sini, pagi tadi.
Sebaliknya, beliau menegaskan ia adalah button badge atau pin karikatur dirinya yang menjadi sebahagian daripada bahan kempen.
"Ada pihak tidak bertanggungjawab menyebar gambar dan video kononnya saya memberi duit kepada pengundi.
"Ini tidak benar sama sekali dan saya anggap satu fitnah. Jika mahu digunakan sebagai modal kempen, hentikanlah," katanya ketika ditemui selepas mengadakan perjumpaan Jalinan Rakyat (JR) di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Kemin di sini, hari ini.
Jalaluddin yang juga Pengerusi UMNO Negeri Sembilan berkata, tindakan menyebarkan perkara tidak benar sangat dikesali sedangkan semua pihak sudah dinasihatkan supaya berkempen dengan berhemah.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, isu PDM BN DUN Klawang yang didakwa tidak beroperasi sudah diselesaikan.
Katanya, isu UMNO DUN Klawang yang dikatakan tidak membantu calon Perikatan Nasional (PN) juga sudah diselesaikan.
"Jentera BN akan digerakkan bagi membantu calon Perikatan Nasional (PN), Danni Rais.
"Semua sudah diselesaikan, kita hanya perlu fokus untuk mencapai kemenangan," katanya.
























