BH Online
Ringkasan Berita

Beri ruang SPRM siasat isu DAK - Pemerhati Rasuah Malaysia

KUALA LUMPUR: Orang ramai diminta memberi ruang kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan agensi penguatkuasaan berkaitan menyelesaikan siasatan berhubung pemindahan tiga gajah iaitu Dara, Amoi dan Kelat (DAK) ke Jepun.
Beri ruang SPRM siasat isu DAK - Pemerhati Rasuah Malaysia

Keadaan terkini Dara, Amoi dan Kelat (DAK) yang kini berada di Zoo Tennoji, Jepun. - FOTO Ihsan FB Majlis Perbandaran Taiping.

KUALA LUMPUR: Orang ramai diminta memberi ruang kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan agensi penguatkuasaan berkaitan menyelesaikan siasatan berhubung pemindahan tiga gajah iaitu Dara, Amoi dan Kelat (DAK) ke Jepun.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, teguran dan kritikan terhadap institusi penguatkuasaan tetap penting sebagai mekanisme semak dan imbang.

Bagaimamapun, katanya, ia hendaklah dibuat secara bertanggungjawab dan tidak mendahului atau membuat kesimpulan sebelum proses siasatan disempurnakan.

"Dalam isu pemindahan gajah (DAK) ke Jepun, dakwaan berkaitan unsur rasuah membabitkan RM53 juta setakat ini dilaporkan tidak mempunyai asas, termasuk tiada aliran wang atau pembayaran yang dikenal pasti kepada mana-mana pihak berkaitan dakwaan berkenaan.

"MCW menegaskan bahawa sesuatu siasatan mesti berpaksikan bukti, dokumen, transaksi dan fakta yang boleh disahkan, bukannya semata-mata berdasarkan persepsi, andaian atau naratif mana-mana pihak berkepentingan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, sekiranya Pertubuhan Konservasi Alam Malaysia (PKAM) atau mana-mana pihak mempunyai bukti baharu, dokumen atau fakta kukuh mengenai unsur rasuah, salah guna kuasa atau penyelewengan, bukti itu sewajarnya dikemukakan secara rasmi kepada SPRM untuk disiasat.

"MCW akan terus menyokong siasatan yang bebas, telus dan berasaskan bukti demi memastikan kebenaran serta kepentingan awam sentiasa terpelihara," katanya.

Semalam media melaporkan, PKAM mempersoalkan ketelusan SPRM dalam siasatan berhubung isu pemindahan tiga gajah dikenali sebagai DAK ke Jepun.

Pengasas dan Presidennya, Prof Dr Santharasekaran Subramaniam dipetik berkata, siasatan SPRM seharusnya memberi tumpuan kepada aspek penyelewengan kewangan, penyalahgunaan kuasa dan tatacara kelulusan dokumen rasmi yang berpotensi mempunyai unsur rasuah.

Ia kerana, dakwa beliau, orang ramai mempersoalkan mengapa hanya empat individu persendirian dikenakan tindakan sedangkan jabatan serta kementerian yang terbabit dalam proses kelulusan pemindahan haiwan berkenaan tidak diambil tindakan.

Terdahulu media melaporkan, tiada sebarang bukti yang dapat dikaitkan berhubung dakwaan rasuah RM53 juta mengaitkan bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad dalam pembabitan urusan pemindahan tiga gajah dari Malaysia ke sebuah zoo di Jepun.

Video Terkini

Berita Berkaitan