BH Online
Ringkasan Berita

Lafaz talak tiga jika Argentina kalah: Pasangan perlu rujuk Mahkamah Syariah

KUALA LUMPUR: Pasangan tular isu talak dikaitkan keputusan final Piala Dunia 2026 dinasihatkan segera merujuk ke Mahkamah Syariah atau pejabat agama bagi mendapatkan pengesahan dan penyelesaian mengikut hukum syarak.
Lafaz talak tiga jika Argentina kalah: Pasangan perlu rujuk Mahkamah Syariah

Foto mengenai dakwaan lelaki dikatakan membuat pertaruhan bersama rakannya dengan meletakkan syarat dia akan menceraikan isterinya dengan talak tiga sekiranya pasukan Argentina tewas perlawanan akhir Piala Dunia.

KUALA LUMPUR: Pasangan tular isu talak dikaitkan keputusan final Piala Dunia 2026 dinasihatkan segera merujuk ke Mahkamah Syariah atau pejabat agama bagi mendapatkan pengesahan dan penyelesaian mengikut hukum syarak.

Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata berdasarkan pandangan jumhur ulama daripada mazhab Hanafi, Maliki, Syafi'i dan Hambali, talak yang digantungkan dengan sesuatu syarat akan jatuh apabila syarat berkenaan benar-benar berlaku.

"Berdasarkan pandangan jumhur, apabila seseorang melafazkan 'Kalau Argentina kalah, isteriku tertalak tiga' dan syarat itu benar-benar berlaku iaitu Argentina kalah, maka talak iru jatuh mengikut pandangan majoriti ulama," katanya dalam hantaran di Threads, hari ini.

Zulkifli berkata, setiap mukmin perlu sentiasa menjaga lidah kerana ada kalanya satu lafaz yang diucapkan hanya dalam beberapa saat atau sekadar bergurau mampu memberi kesan besar sehingga mengubah seluruh kehidupan.

Beliau berkata, Rasulullah SAW juga mengingatkan bahawa tiga perkara yang seriusnya dianggap serius dan gurauannya juga dianggap serius ialah nikah, talak dan rujuk.

"Kerana itu, seorang mukmin hendaklah sentiasa menjaga lisannya. Rasulullah SAW bersabda: 'Tiga perkara yang seriusnya dianggap serius dan gurauannya juga dianggap serius iaitu nikah, talak dan rujuk'," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pasangan yang berdepan situasi sedemikian supaya segera merujuk ke Mahkamah Syariah atau pejabat agama berkaitan bagi mendapatkan pengesahan dan penyelesaian mengikut hukum syarak serta undang-undang yang berkuat kuasa.

Terdahulu, tular tindakan seorang suami yang didakwa menjadikan lafaz talak sebagai taruhan dalam perlawanan bola sepak antara Argentina menentang Sepanyol malam tadi mengundang kecaman pengguna media sosial.

Menerusi hantaran yang dimuat naik di Threads oleh Raudhah.24, seorang wanita buntu selepas suaminya bertindak menceraikannya dengan talak tiga berikutan kekalahan pasukan Argentina ke atas Sepanyol.

Berdasarkan mesej itu, suami dikatakan membuat pertaruhan bersama rakannya dengan meletakkan syarat dia akan menceraikan isterinya dengan talak tiga sekiranya pasukan tersebut tewas.

Video Terkini

Berita Berkaitan