BH Online
Ringkasan Berita

UMNO memberi jaminan tidak akan 'menebuk atap' Kerajaan Perpaduan - Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR: UMNO memberi jaminan tidak akan sesekali ‘menebuk atap’ Kerajaan Perpaduan yang mentadbir ketika ini sehingga ia dibubarkan untuk memberi laluan Pilihan Raya Umum akan datang.
UMNO memberi jaminan tidak akan 'menebuk atap' Kerajaan Perpaduan - Asyraf Wajdi

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki (duduk tiga kiri) dan Ketua Pengarah MARA, Datuk Zulfikri Osman (duduk tiga kanan) bersama wakil pemain industri serta penerima sijil dan lantikan pekerjaan pada Majlis Memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) antara MARA dengan rakan strategik serta Pelancaran Program Perantisan MARA-Switchpro di Hotel Premiera Kuala Lumpur, hari ini. - Foto NSTP/Asyraf Hamzah

KUALA LUMPUR: UMNO memberi jaminan tidak akan sesekali 'menebuk atap' Kerajaan Perpaduan yang mentadbir ketika ini sehingga ia dibubarkan untuk memberi laluan Pilihan Raya Umum akan datang.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, menegaskan perkara itu sudah pun terkandung dalam perjanjian di antara parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan dan ia akan dihormati.

Beliau mengulangi jaminan itu selepas ada pihak tidak berpuas hati selain kurang senang dengan kerjasama di antara Perikatan Nasional (PN) khususnya PAS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor serta Negeri Sembilan bakal menggugat kerajaan pusat.

"Inti pati pertama perjanjian membabitkan permuafakatan. Ini adalah demi untuk menjaga kestabilan, memastikan, kemakmuran dan keharmonian negara sepanjang sesi penggal Parlimen ini dapat kita sama-sama pertahankan demi untuk kemajuan negara.

"Selama hampir empat tahun kita bersama dalam kerajaan ini, semua memainkan peranan bersama menjaga kestabilan dan memakmurkan negara. Tidak ada sesiapa pun boleh menafikan peranan sesiapa.

"Barisan Nasional (BN) tak boleh menafikan PH, PH tak boleh menafikan BN, tak boleh menafikan GRS, GPS dan sebagainya. Itu asas yang penting. Maknanya kita akur dengan titah Yang di-Pertuan Agong.

"Yang kedua, intipati penting ialah perjanjian ini terpakai sehingga pilihan raya umum (PRU16). Sebab itulah BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, sendiri sentiasa menyebut bahawa kita tidak akan sesekali menebuk atap kerana itu perjanjian yang kita sepakati bersama," katanya pada sidang media selepas melancarkan Program Perantisan MARA-SWITCHPRO, di sini, hari ini.

BH20UMNOTEBUK1
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki (duduk tiga kiri) dan Ketua Pengarah MARA, Datuk Zulfikri Osman (duduk tiga kanan) bersama wakil pemain industri serta penerima sijil dan lantikan pekerjaan pada Majlis Memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) antara MARA dengan rakan strategik serta Pelancaran Program Perantisan MARA-Switchpro di Hotel Premiera Kuala Lumpur, hari ini. - Foto NSTP/Asyraf Hamzah

Mengulas kerjasama BN dengan Perikatan Nasional (PN) pada PRN Johor dan Negeri Sembilan, Asyraf Wajdi yang juga Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan meminta supaya konteks di negeri dan Persekutuan tidak dicampur aduk.

Sekiranya ada pihak terutama dalam Kerajaan Perpaduan masih tidak berpuas hati, beliau berkata, terpulang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk membubarkan Parlimen bagi memberi mandat kepada rakyat untuk memilih semula kerajaan.

"Tetapi dalam konteks Johor dan juga Negeri Sembilan itu berbeza, kerana itu sudah berlaku pilihan raya. Tetapi jangan kita campur aduk PRN dengan persefahaman dan perjanjian yang ada di peringkat Persekutuan. Dalam konteks Persekutuan ini, intipati yang saya sebutkan tadi menjurus kepada semua portfolio ini sudah pun disepakati dalam perjanjian.

"Kementerian-kementerian yang dipegang oleh menteri-menteri, timbalan menteri BN dan juga agensi-agensi termasuk MARA, termasuk RISDA, termasuk FELCRA. Ini semua adalah dalam perjanjian.

"Kalau mana-mana pihak nak minta supaya kita leraikan semua perkara ini maknanya kita kena semua sepakat bahawa kita kena serahkan balik mandat ini kepada rakyat. Maknanya bubarlah. Di situ baru hilanglah, terlerailah perjanjian permuafakatan Kerajaan Perpaduan Malaysia ini," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan