BH Online
Ringkasan Berita

'UMNO tak jadikan isu peribadi alat berkempen serang parti lawan' - Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR: UMNO tidak pernah menjadikan isu peribadi sebagai alat berkempen untuk menyerang parti lawan sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan, sebaliknya mengutamakan isu dasar dan pencapaian Barisan Nasional (BN) ketika mentadbir.
'UMNO tak jadikan isu peribadi alat berkempen serang parti lawan' - Asyraf Wajdi

Asyraf Wajdi (empat dari kiri) melakukan gimik perasmian Majlis MoU antara MARA dengan rakan strategik serta Pelancaran Program Perantisan MARA-Switchpro hari ini. NSTP/ASYRAF HAMZAH

KUALA LUMPUR: UMNO tidak pernah menjadikan isu peribadi sebagai alat berkempen untuk menyerang parti lawan sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan, sebaliknya mengutamakan isu dasar dan pencapaian Barisan Nasional (BN) ketika mentadbir.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, berkata pihaknya tidak akan sesekali menyerang pihak tertentu termasuk parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan seperti Pakatan Harapan (PH), jika mereka tidak mula memainkan sentimen terkait fitnah dan tohmahan.

Tanpa memetik nama individu terbabit, beliau berkata, UMNO sering dikaitkan dengan dakwaan 'sakau-menyakau' dan kononnya Datuk Seri Najib Razak akan dibebaskan jika BN menang PRN Johor oleh mereka yang berada dalam pentadbiran Kerajaan Pusat.

"Saya rasa tidak timbul soal kita menghentam secara peribadi mana-mana pihak seperti di (PRN) Johor sehinggalah ke Negeri Sembilan. Tidak ada sesiapa pun pimpinan UMNO dan BN yang menghentam Kerajaan Persekutuan, sebaliknya kita hormati.

"Tetapi kita perlu bertanya kenapa mereka (PH) memainkan sentimen menyerang peribadi contohnya di (PRN) Johor (dengan berkata) menang di Johor, Najib akan bebas. Apa kaitan memainkan isu murahan seperti itu?

"Kita tidak memainkan sentimen menyerang peribadi mana-mana individu dalam parti. Kita bercakap soal dasar dan polisi, kita menawarkan bagaimana kita meletakkan asas ekonomi di Negeri Sembilan melalui kepimpinan BN.

"Kalau nak tuduh mana-mana parti dalam Kerajaan Perpaduan ada menyakau mana-mana duit rakyat, maknanya harus dipersalahkan keseluruhan kerajaan kerana membenarkan sakau-menyakau ini berlaku," katanya selepas melancarkan Program Perantisan MARA-SWITCHPRO di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Zulfikri Osman.

Penjelasan Asyraf Wajdi itu sebagai reaksi kepada kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam yang memberi amaran kepada menteri, timbalan dan pemegang jawatan agensi kerajaan untuk berundur jika menggunakan kedudukan menyerang rakan Kerajaan Perpaduan ketika berkempen pada PRN.

Anwar berkata, perkara itu diputuskan selepas beliau menghubungi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof semalam.

Video Terkini

Berita Berkaitan