BH Online
Ringkasan Berita

AirBorneo jadi 'jambatan udara', perluas rangkaian ke negara ASEAN

SEPANG: AirBorneo Airways (AirBorneo) berperanan menjadi ‘jambatan udara’ menghubungkan Sarawak dengan Semenanjung Malaysia serta menyasarkan perluasan rangkaiannya ke negara ASEAN dalam tempoh terdekat.
AirBorneo jadi 'jambatan udara', perluas rangkaian ke negara ASEAN

Abang Johari menyampaikan cenderamata kepada penumpang penerbangan sulung AirBorneo, di Terminal 1 KLIA, hari ini. Foto Ahmad Ukasyah/NSTP

SEPANG: AirBorneo Airways (AirBorneo) berperanan menjadi 'jambatan udara' menghubungkan Sarawak dengan Semenanjung Malaysia serta menyasarkan perluasan rangkaiannya ke negara ASEAN dalam tempoh terdekat.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, berkata model perniagaan AirBorneo berbeza daripada syarikat penerbangan komersial lain kerana kerajaan negeri melihat syarikat itu sebagai infrastruktur strategik bagi merangsang pertumbuhan ekonomi, menarik pelaburan dan memudahkan pergerakan rakyat.

"Kita menganggap AirBorneo sebagai 'air bridge' kerana Sarawak berada di sebuah pulau. Kita tidak boleh mengharapkan orang berenang merentasi Laut China Selatan.

"Seperti kita membina lebih 20 jambatan di Sarawak sejak empat tahun lalu, kini kita memperluaskan konsep itu kepada jambatan udara," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis penerbangan sulung AirBorneo bagi laluan Kuching-Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Abang Johari berkata, dalam usaha memperluaskan rangkaian penerbangannya di peringkat antarabangsa, AirBorneo dijadual memulakan penerbangan Kuching-Singapura pada 22 Julai ini, diikuti laluan ke Jakarta dalam tempoh dua bulan, sebelum memperluaskan rangkaian ke bandar lain di ASEAN dan Asia Timur.

"Hasrat kami adalah menggunakan AirBorneo untuk menghubungkan Sarawak dengan rantau ini, sekali gus mengukuhkan hubungan ekonomi serta hubungan antara rakyat di ASEAN," katanya.

Beliau berkata, dalam tempoh enam bulan pertama, AirBorneo akan memberi tumpuan kepada penyediaan perkhidmatan penerbangan mampu milik sambil memperkukuhkan rangkaian asas syarikat itu selepas mengambil alih aset daripada MASwings.

Katanya, AirBorneo menawarkan tambang tetap RM375 bagi laluan Kuching-Kuala Lumpur sepanjang tahun, manakala tambang bagi laluan Kuching-Singapura ditetapkan pada RM399.

Beliau berkata, pendekatan itu dijangka merangsang sektor pelancongan dengan menarik lebih ramai pelancong ke Sarawak, selain menyokong pertumbuhan pelancongan kesihatan susulan pembukaan hospital baharu di Kuching.

"Kita juga akan mempromosikan tapak Warisan Dunia UNESCO seperti Gua Niah dan Taman Negara Gunung Mulu serta status Kuching sebagai Bandar Gastronomi UNESCO bagi menarik lebih ramai pelawat asing," katanya.

Terdahulu, pesawat sulung AirBorneo mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1.

Pesawat laluan Kuching-Kuala Lumpur yang dinaiki Premier Sarawak itu turut diberi sambutan rasmi dengan melalui upacara semburan meriam air sebagai simbolik perasmian penerbangan sulung berkenaan.

Video Terkini

Berita Berkaitan