BH Online
Ringkasan Berita

KWAP tidak bankrap, masih mampu tanggung kos pencen

KUALA LUMPUR: Kes penipuan syarikat teknologi akuakultur Indonesia, eFishery tidak memberi kesan besar terhadap kewangan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dan kemampuannya membantu kerajaan menanggung kos pencen penjawat awam.
KWAP tidak bankrap, masih mampu tanggung kos pencen

Foto hiasan NSTP

KUALA LUMPUR: Kes penipuan syarikat teknologi akuakultur Indonesia, eFishery tidak memberi kesan besar terhadap kewangan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dan kemampuannya membantu kerajaan menanggung kos pencen penjawat awam.

Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata keseluruhan dana KWAP pada 2025 adalah sebanyak RM 195 bilion.

Beliau berkata, pada 2024 iaitu tahun terakhir KWAP diaudit, ia menjana pendapatan pelaburan sebanyak RM18 bilion.

"Keseluruhan pelaburan eFishery kurang satu peratus daripada pendapatan pelaburan KWAP pada 2024, manakala pada 2025, keseluruhan pelaburan eFishery adalah kurang 0.1 peratus daripada keseluruhan dana," katanya menerusi hantaran video di laman Facebook miliknya, hari ini.

Tengku Zafrul berkata, tanggungjawab kerajaan untuk membayar pencen tetap tidak pernah berubah.

Beliau berkata, KWAP bukan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

"Penjawat awam tiada simpanan individu yang akan berkurang apabila satu pelaburan rugi. Jadi apa pun yang berlaku kepada eFishery, kerajaan tetap perlu membayar pencen awam seperti biasa," katanya.

Beliau berkata, kerugian yang dialami oleh KWAP bukan RM200 juta, sebaliknya sebanyak RM163 juta.

Katanya, KWAP akan menggunakan semua saluran yang ada untuk mendapatkan sebanyak mungkin wang berkenaan.

"Wang RM163 juta tetap wang awam…Setiap sen yang boleh didapatkan semula mesti dikejar.

"Jika ada kecuaian, pihak yang bertanggungjawab mesti diambil tindakan. Kita tidak akan sembunyikan kegagalan tetapi jangan menipu rakyat, kononnya KWAP dah hampir bankrap dan pencen penjawat awam tidak dapat dibayar," katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum ini dilaporkan berkata keputusan pelaburan eFishery dibuat melalui proses penilaian dan tadbir urus berdasarkan maklumat tersedia yang merangkumi pengesahan penyata kewangan daripada juruaudit antarabangsa bertauliah.

Anwar yang juga Menteri Kewangan dilaporkan berkata, pada masa sama, konsortium pelabur termasuk KWAP juga sudah melaksanakan usaha wajar bebas bagi memastikan semua maklumat adalah lengkap dan sahih untuk pertimbangan pelaburan.

KWAP dilaporkan melabur AS$47.7 juta (kira-kira RM200 juta) dalam syarikat eFishery pada Julai 2023.

Syarikat pemula niaga itu dipersembahkan sebagai firma akuakultur berasaskan teknologi yang kononnya mampu memodenkan industri penternakan ikan dan udang.

Tahun lalu, pengasas bersama eFishery, Gibran Huzaifah, dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun oleh mahkamah di Bandung, Indonesia, selepas disabitkan kesalahan melakukan pecah amanah dan pengubahan wang haram.

Video Terkini

Berita Berkaitan