JELEBU: Tempoh berkempen yang singkat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan tidak harus dibazirkan untuk mencaci atau menyerang mana-mana pihak.
Pengerusi UMNO Negeri Sembilan yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias, menegaskan parti gabungan itu memberi tumpuan sepenuhnya terhadap tawaran buat rakyat sepanjang berkempen pada pilihan raya negeri itu.
Namun, beliau berkata, BN perlu bangkit menjawab sekiranya ada pihak terus-menerus menghina dan mengkritik gabungan itu.
"Kita jawab untuk mempertahankan BN tetapi tidaklah sampai menghina atau merendah-rendahkan mana-mana calon atau sesiapa pun.
"Kalau mereka berterusan menjual, terpaksalah kami membeli tapi cukuplah sikit-sikit."
P
"Perlu ke setiap kali berkempen mencaci orang lain sedangkan inilah peluang untuk kita menerangkan kepada orang ramai mengenai khidmat dan hala tuju kita dan parti," katanya yang juga calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pertang.
Ahli Parlimen Jelebu itu ditemui ketika program tinjauan mesra di Kampung Jerang, di sini, hari ini.
Jalaluddin berkata, semua calon BN berpegang kepada kaedah berhemah ketika berkempen dan mengemukakan hala tuju masing-masing, berbanding menghabiskan masa menghentam pihak lawan.
"Gunakan masa berkempen sebaiknya, jangan sia-siakan 20 atau 30 minit hanya untuk mencaci," katanya.
Ahli Parlimen Jelebu itu berkata, calon BN tidak menyentuh hal berkaitan Kerajaan Perpaduan dalam kempen kerana masing-masing tahu membezakan apa yang wajar dan sebaliknya," katanya.
























