KUCHING: AirBorneo akan memulakan penerbangan antarabangsa sulung ke Singapura pada 22 Julai ini, sekali gus menjadi langkah awal syarikat penerbangan milik kerajaan Sarawak itu mengembangkan rangkaian perkhidmatannya ke luar negara.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, penerbangan berkenaan akan menjadi detik penting kepada AirBorneo selepas memulakan operasi domestik menerusi laluan Kuching-Kuala Lumpur, dengan pesawat Boeing 737-800, hari ini.
"Pada 22 Julai sempena sambutan Hari Sarawak, kita akan mengadakan penerbangan ke Singapura. Ia akan menjadi penerbangan antarabangsa pertama AirBorneo," katanya dalam ucapan pelancaran Penerbangan Sulung AirBorneo bagi laluan Kuching-Kuala Lumpur di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK), di sini, hari ini.
Pada masa sama, Abang Johari berkata, AirBorneo akan menyediakan penerbangan tambang berpatutan dari Kuching ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, bagi memudahkan pergerakan pelajar Sarawak yang melanjutkan pengajian di Semenanjung.

Katanya, perkhidmatan itu juga akan memberi kemudahan kepada pelajar dari Semenanjung yang menuntut di Sarawak sekali gus, inisiatif itu mampu mengurangkan beban kos perjalanan golongan berkenaan.
"Berikutan itu, AirBorneo akan menambah bilangan pesawat dalam tempoh empat hingga lima bulan akan datang bagi membolehkan syarikat itu memperluaskan rangkaian penerbangannya ke lebih banyak destinasi.
"Mudah-mudahan dalam tempoh empat atau lima bulan lagi pesawat kita akan bertambah dan kita dapat menyambung jaringan penerbangan ke kawasan lain.
"Ia termasuk perancangan mendapatkan pesawat ATR generasi baharu iaitu antara pesawat turboprop paling moden dalam industri penerbangan," katanya.
Abang Johari berkata, pesawat baharu itu akan dilengkapi konfigurasi kabin yang lebih selesa bagi memberikan pengalaman perjalanan lebih premium kepada penumpang.
"Saya minta konfigurasi kabin diubah supaya penumpang berasa seperti menaiki penerbangan kelas pertama. Mengapa tidak?" katanya.
Mengimbau penubuhan AirBorneo, Abang Johari berkata, keyakinannya untuk menubuhkan syarikat penerbangan sendiri turut dipengaruhi pengalaman bekerja dalam industri penerbangan pada penghujung 1970-an sebelum bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak pada 1981.
Beliau berkata, sepanjang kira-kira tiga tahun sebagai pelatih pengurusan di bawah, Pengarah Urusan Penerbangan Malaysia (MAS) ketika itu, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman, beliau mempelajari pelbagai aspek industri penerbangan termasuk pembangunan juruterbang, kejuruteraan dan penyelenggaraan teknikal, pengurusan serta pemasaran.
Katanya, beliau turut berpeluang mempelajari perkembangan industri penerbangan Jepun, termasuk bagaimana negara itu membangunkan syarikat penerbangan seperti All Nippon Airways (ANA) bagi meningkatkan ketersambungan antara pulau sehingga menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan perindustrian.
"Berdasarkan pengalaman itu, saya melihat Sarawak yang berada di Pulau Borneo perlu memiliki sistem logistik dan syarikat penerbangan sendiri bagi menghubungkan rakyat serta memudahkan eksport barangan dan perkhidmatan.
"Atas sebab itulah pada 2021 saya memutuskan Sarawak mesti mempunyai syarikat penerbangannya sendiri, dan AirBorneo adalah manifestasi kepada hasrat itu," katanya.
























