BH Online
Ringkasan Berita

'Kita hentikan budaya usahawan terpaksa cari orang politik untuk dapat surat sokongan mohon bantuan TEKUN' - Steven Sim

SEREMBAN: Setiap permohonan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional akan dinilai secara profesional dan telus, berdasarkan kelayakan pemohon, tanpa mengira kaum, agama atau kecenderungan politik.
'Kita hentikan budaya usahawan terpaksa cari orang politik untuk dapat surat sokongan mohon bantuan TEKUN' - Steven Sim

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Steven Sim Chee Keong. NSTP/ROHANIS SHUKRI

SEREMBAN: Setiap permohonan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional akan dinilai secara profesional dan telus, berdasarkan kelayakan pemohon, tanpa mengira kaum, agama atau kecenderungan politik.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim, berkata permohonan itu juga tidak memerlukan sebarang sokongan atau pengesahan daripada mana-mana pemimpin politik.

"Tidak kira usahawan memakai baju biru, hijau atau merah, selagi mereka layak, permohonan mesti diberikan pertimbangan yang adil.

"Kita mahu menghentikan budaya usahawan terpaksa mencari orang politik atau pihak ketiga untuk mendapatkan surat sokongan," katanya di sini.

Sim berkata, dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, TEKUN Nasional menyalurkan pembiayaan RM540 juta kepada 25,600 usahawan di seluruh negara.

Beliau berkata, bagi Negeri Sembilan, sebanyak RM36 juta disalurkan kepada kira-kira 1,500 usahawan dalam tempoh sama.

Katanya, TEKUN memberikan sumbangan besar kepada pembangunan usahawan tempatan sejak ditubuhkan 30 tahun lalu, namun setiap kelemahan dan jurang dalam proses penyampaian perlu terus diperbaiki berdasarkan pengalaman sebenar usahawan.

"Justeru, saya menetapkan sasaran supaya keputusan bagi permohonan pembiayaan TEKUN bernilai RM100,000 dan ke bawah diberikan dalam tempoh tujuh hari, sama ada diluluskan atau sebaliknya.

"Bagi pembiayaan mikro bernilai RM20,000 dan ke bawah pula, kementerian sedang mengusahakan sasaran supaya keputusan permohonan dapat diberikan dalam tempoh 24 jam.

"Usaha mempercepat proses kelulusan ini perlu disertai penyaluran dana yang cekap supaya usahawan dapat menggunakan pembiayaan berkenaan tanpa perlu menunggu terlalu lama," katanya.

Pada masa sama, Sim berkata, kerajaan terus memperluas akses pembiayaan kepada usahawan daripada semua komuniti, antaranya peruntukan Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) di bawah TEKUN ditingkatkan daripada RM30 juta kepada RM50 juta, selain pembiayaan RM220 juta di bawah Pakej Pembiayaan Usahawan Masyarakat India (MUDRA)pada tahun ini.

"Usaha memperkukuh perusahaan tempatan tidak boleh dilihat dari sudut kaum kerana di peringkat antarabangsa, semua perniagaan tempatan bersaing sebagai syarikat Malaysia.

"Jika kita mahu menang pada peringkat antarabangsa, kita mesti menang bersama-sama. Jika kita kalah, kita juga akan kalah bersama-sama," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan