BH Online
Ringkasan Berita

Cikgu Tina tidak sangka slogan perkataan 'sosah' jadi tular

SEREMBAN: Calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rahang, tidak menyangka slogan kempennya tular selepas perkataan ‘sosah’ yang digunakan dikatakan membawa maksud berbeza.
Cikgu Tina tidak sangka slogan perkataan 'sosah' jadi tular

Calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rahang, S Tinagaran, 49, menunjukkan poster kempennya yang sudah menukar perkataan 'sosah' kepada susah. Foto Nurul Hidayah Bahaudin

SEREMBAN: Calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rahang, tidak menyangka slogan kempennya tular selepas perkataan 'sosah' yang digunakan dikatakan membawa maksud berbeza.

S Tinagaran, 49, berkata, pemilihan slogan 'Lomah dibelo, sosah dibantu' dalam kempennya dibuat hasil perbincangan dengan beberapa pihak termasuk orang tempatan Negeri Sembilan.

"Kami ada merujuk kepada mereka mengenai loghat negeri ini dan dimaklumkan bahawa 'sosah' itu membawa maksud susah.

"Apabila poster yang dimuat naik di media sosial tular, kami sendiri keliru selepas mendapati perkataan itu ada membawa maksud lain," katanya ketika ditemui di Pejabat PSM Negeri Sembilan, di sini hari ini.

Tinagaran yang lebih dikenali dengan panggilan Cikgu Tina berkata, pihaknya menukar poster baharu dengan menggunakan perkataan 'susah' di media sosial.

"Ada segelintir pihak maklumkan perkataan 'sosah' itu memang bermaksud susah, namun bagi mengelakkan kekeliruan, kami buat keputusan untuk menukar poster dengan perkataan baharu itu, semalam.

Beliau berkata, hanya poster di media sosial dapat ditukar memandangkan poster fizikal sudah dicetak lebih awal.

"Kami menerima teguran daripada netizen berhubung isu itu dengan hati terbuka dan ia adalah perkara yang menjadi pengajaran bagi kami," katanya.

Terdahulu, poster kempen Cikgu Tina tular di media sosial selepas menjadi perdebatan berhubung perkataan 'sosah' yang digunakan pada slogan kempennya.

Ramai mendakwa perkataan 'sosah' menurut loghat Negeri Sembilan bukan bermaksud susah tetapi membawa makna pukul atau belasah.

Mengulas isu ingin diketengahkan bagi DUN Rahang, Tinagaran berkata, terdapat beberapa perkara yang diberi perhatian untuk diselesaikan.

"Ini termasuk isu saliran yang menyebabkan banjir kilat, kesesakan trafik serta pembangunan tidak tersusun di sekitar Rahang.

"Saya dapati kerja-kerja dilakukan pihak kerajaan tempatan di kawasan ini agak tidak memuaskan. Jadi, saya berhasrat untuk mengindahkan kawasan ini termasuk menyediakan kemudahan awam seperti pejalan kaki," katanya.

Berasal dari Ipoh, Perak, ini kali kedua beliau bertanding dalam pilihan raya selepas bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) pada 2022 di Parlimen Rembau.

"Saya sudah bermastautin di Seremban sejak lebih 20 tahun lalu. Sejujurnya, ada beberapa DUN yang PSM mahu bertanding, namun ramai ahli di cawangan yang lain tidak dapat memberi komitmen atas sebab tugas masing-masing," katanya.

Cikgu Tina berdepan pertembungan sengit empat penjuru daripada Siau Meow Kong (PH); Yap Siok Moy (BN) dan Tang Jay Son (BERSATU) di DUN Rahang.

Video Terkini

Berita Berkaitan