BH Online
Ringkasan Berita

Janaan tenaga boleh baharu di Sabah disasar 1,200 MW pada 2030

KOTA KINABALU: Penjanaan tenaga boleh baharu di Sabah disasar meningkat kepada 1,200 MegaWatt (MW) pada 2030, berbanding 307 MW yang dijana pada masa ini.
Janaan tenaga boleh baharu di Sabah disasar 1,200 MW pada 2030

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor Gambar fail

KOTA KINABALU: Penjanaan tenaga boleh baharu di Sabah disasar meningkat kepada 1,200 MegaWatt (MW) pada 2030, berbanding 307 MW yang dijana pada masa ini.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata sasaran itu mewakili 37 peratus daripada campuran kapasiti penjanaan tenaga negeri, berbanding 16 peratus ketika ini.

Katanya, sasaran penjanaan tenaga boleh baharu itu mampu dicapai menerusi beberapa projek sedang dan akan dilaksanakan tahun ini hingga 2030.

"Bagi meningkatkan kapasiti itu, beberapa projek strategik sedang dan akan dilaksanakan, antaranya projek Solar Berskala Besar (LSS) berjumlah 450 MW yang merangkumi 200 MW yang kini pada peringkat pelaksanaan dan dijangka siap hujung 2026 hingga awal 2027 serta tambahan 250 MW yang sedang melalui proses bidaan dan disasarkan siap pada 2028," katanya pada sesi soal jawab sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Arthur Joseph Kurup (BN-Sook) mengenai hala tuju kerajaan negeri dalam meningkatkan kapasiti tenaga boleh baharu menjelang 2030.

Hajiji berkata, kerajaan negeri turut melaksanakan projek Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) berkapasiti 200 MW / 400 MW perjam yang kini dalam proses bidaan dan dijangka siap pada 2028, diikuti projek penjanaan tenaga angin berkapasiti 100 MW yang dijangka siap pada 2029.

Selain itu, katanya, Projek Hidroelektrik Upper Padas berkapasiti 187 MW dan Projek Hidroelektrik Oriole Padas berkapasiti 162 MW dijangka siap pada 2030 juga sedang dilaksanakan.

"Dengan pelaksanaan projek itu secara berfasa, kapasiti penjanaan tenaga boleh baharu di Sabah dijangka meningkat kepada sekitar 1,200 MW menjelang 2030, bersamaan kira-kira 37 peratus daripada campuran kapasiti penjanaan negeri.

"Kerajaan negeri yakin sasaran 50 peratus pada 2035 dapat dicapai melalui projek tenaga boleh baharu yang dikenal pasti sambil memastikan bekalan elektrik Sabah kekal mencukupi, stabil dan berdaya harap serta mampu milik selaras aspirasi peralihan tenaga negeri," katanya.

Hajiji berkata, projek tenaga boleh baharu di Sabah dilaksanakan melalui inisiatif strategik di bawah Pelan Induk Tenaga Negeri, Sabah Energy Roadmap and Master Plan 2040 (SE-RAMP 2040) yang menetapkan hala tuju jelas untuk meningkatkan kapasiti tenaga boleh baharu dalam campuran kapasiti penjanaan tenaga negeri dengan sasaran mencapai 50 peratus menjelang 2035.

Katanya, bagi tempoh sehingga 2030, fokus kerajaan negeri adalah meningkatkan pembangunan kapasiti tenaga boleh baharu secara berperingkat melalui penambahan kapasiti sumber solar berskala besar, hidroelektrik, tenaga angin, biojisim dan teknologi penyimpanan tenaga bagi memastikan kestabilan sistem grid.

Video Terkini

Berita Berkaitan