ISKANDAR PUTERI: Semua penganjuran sukan atau kejohanan liga di negeri ini perlu mendapatkan nasihat dan kebenaran badan pengurusan tertinggi sukan sebelum ia dilaksanakan.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd Hairi Mad Shah, berkata pihaknya mengakui banyak penganjuran liga di negeri ini sebenarnya tidak sah kerana tidak mendapatkan nasihat dan kebenaran yang sewajarnya.
"Jadi, saya minta penganjur merujuk badan tertinggi sukan pada peringkat Malaysia mahu pun negeri jika mahu menganjurkan majlis. Kita tidak boleh menganjurkan liga tanpa sebarang nasihat daripada badan persatuan terbabit.
"Banyak liga haram dibuat di negeri ini tanpa kebenaran rasmi Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) atau persatuan daerah dipengerusikan Pejabat Pegawai Daerah.
"Saya minta bukan hanya bola sepak, tetapi semua sukan mesti dapatkan kebenaran persatuan di Johor ini. Itu saya tetapkan pada mesyuarat akan datang," katanya selepas Majlis 'Clock In' di Pejabat Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ), Kota Iskandar di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun dilaporkan meninggal dunia selepas rebah ketika menyertai kejohanan bola sepak bawah 12 Tahun (B-12) di pusat sukan Ekoflora di sini, kelmarin.
Mohd Hairi berkata, hasil semakan mendapati kejohanan disertai mangsa kelmarin tidak melalui proses sewajarnya iaitu tanpa pengetahuan PBNJ atau Persatuan Bolasepak Johor Bahru (JBFA).
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin turut mengingatkan ibu bapa atau penjaga, memastikan kejohanan sukan disertai anak perlu mendapat kebenaran mereka terlebih dulu.
"Saya mahu faktor keselamatan, perubatan dan sebagainya diteliti semula. Saya juga meminta PBNJ melihat kes ini secara serius dan mengambil tindakan atau memanggil penganjur untuk memberi justifikasi berhubung apa yang berlaku.
"Kejohanan dianjurkan sepatutnya ada surat daripada badan tertinggi sukan, contohnya jika bola sepak, mesti ada logo persatuan dalam penganjuran ini supaya ibu bapa boleh mengetahui ia sah atau sebaliknya," katanya.
Sementara itu, PBNJ dalam satu kenyataan berkata, pihaknya akan mengambil langkah proaktif memperketatkan syarat penganjuran kejohanan bola sepak membabitkan penganjur pihak ketiga di negeri ini melalui pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) Keselamatan Pertandingan yang wajib dipatuhi.
Katanya, insiden menimpa mangsa menjadi peringatan kepada seluruh komuniti bola sepak bahawa aspek keselamatan pemain, pegawai dan penonton perlu menjadi keutamaan dalam setiap penganjuran kejohanan, khususnya membabitkan kanak-kanak serta remaja.
"Bagi memperkukuh standard keselamatan, beberapa penambahbaikan akan dikuatkuasakan termasuk mewajibkan penganjur mendapat kebenaran pertandingan daripada persatuan bolasepak daerah (PBD) dan PBNJ.
"Pemilik atau pengurus fasiliti juga tidak dibenar menyewakan atau membenarkan penggunaan padang bagi penganjuran kejohanan bola sepak tanpa bukti Surat Kelulusan Rasmi PBNJ, khususnya kejohanan membabitkan kategori umur tujuh hingga 17 tahun," katanya.
Selain itu, PBNJ turut meletakkan keperluan kehadiran pegawai perubatan atau paramedik bertauliah sepanjang pertandingan yang dilantik penganjur.
"Ambulans atau kenderaan kecemasan perlu bersedia di lokasi kejohanan sepanjang kejohanan berlangsung.
"Penganjur wajib menyediakan Pelan Tindakan Kecemasan (EAP) termasuk rujukan hospital terdekat dan nombor telefon untuk dihubungi, selain pemeriksaan keselamatan padang, kawasan permainan serta kemudahan pertandingan dilakukan sebelum perlawanan bermula.
"Pihak yang gagal mematuhi SOP keselamatan ditetapkan boleh dikenakan tindakan termasuk disenaraihitamkan dari terbabit dalam sebarang aktiviti bola sepak di masa hadapan," katanya.






















