BH Online
Ringkasan Berita

'Walaupun cacat akibat kanser tulang, saya tetap mahu lanjutkan pelajaran' - Muhammad Aqib

KUANTAN: “Penyakit kanser tulang yang ditanggung sejak sembilan tahun lalu tidak melemahkan semangat saya untuk mengejar impian ke menara gading,” kata Muhammad Aqib Hakim Mohd Aliazhar,18, dari Kluang, Johor.
'Walaupun cacat akibat kanser tulang, saya tetap mahu lanjutkan pelajaran' - Muhammad Aqib

Yatimah (dua dari kiri) menyampaikan bantuan dermasiswa B40 UMPSA kepada Muhammad Aqib Hakim yang mengidap kanser tulang. NSTP/MOHD RAFI MAMAT

KUANTAN: "Penyakit kanser tulang yang ditanggung sejak sembilan tahun lalu tidak melemahkan semangat saya untuk mengejar impian ke menara gading," kata Muhammad Aqib Hakim Mohd Aliazhar,18, dari Kluang, Johor.

Beliau antara 1,045 pelajar baharu program diploma Sesi Akademik 2026/2027 Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang mula mendaftar semalam.

Katanya, dalam tempoh tiga tahun sejak 2017 selepas dikesan mengidap penyakit itu, dia terpaksa menjalani enam rawatan kemoterapi bagi memusnahkan dan merencat pertumbuhan sel kanser daripada terus membiak.

Muhammad Aqib Hakim berkata, lebih memilukan pada 2018 dia terpaksa menjalani pembedahan bagi membuang kira-kira 15 sentimeter tulang kaki kanan yang ada sel kanser dan proses itu perlu dilakukan bagi mengelak kanser merebak hingga merosakkan struktur normalnya serta mengancam nyawanya.

"Penyakit kanser tulang ini mula dikesan ketika saya berusia sembilan tahun apabila kaki kanan bengkak hingga terpaksa mendapat rawatan di beberapa klinik swasta.

"Selepas pemeriksaan lanjut di Hospital Kluang, Johor, doktor mengesahkan terdapat sel kanser tulang pada kaki dan saya menjalani rawatan kemoterapi serta pembedahan di Hospital Sultan Ibrahim, Johor.

"Selama tiga tahun saya berulang alik ke hospital ditemani ibu, Noriedayu Missdi yang sentiasa mengambil berat terhadap kesihatan saya," katanya yang teruja berjaya melanjutkan pengajian di UMPSA.

Anak sulung daripada empat beradik itu berkata, selepas pembedahan membuang tulang yang dijangkiti sel kanser, dia tidak dapat lagi mengangkat kaki kanan secara normal dan jika terlalu aktiviti bersukan, akan berlaku kekejangan yang menyakitkan.

Beliau berkata, doktor sebelum ini memaklumkan pembedahan mengantikan tulang kakinya yang dibuang sebelum ini boleh dilakukan bagi membolehkan dia berjalan secara normal, namun dia belum bersedia berbuat demikian kerana tidak sanggup menggunakan kerusi roda selama setahun.

"Saya bersyukur impian melanjutkan pelajaran di UMPSA menjadi kenyataan dan lebih terharu apabila turut menerima dermasiswa B40 UMPSA yang dapat meringankan beban sebagai pelajar disampaikan Naib Canselor UMPSA, Prof Dr Yatimah Alias.

"Kecacatan kekal yang ditanggung kini tidak sedikit pun melemahkan semangat saya kejayaan dalam pendidikan dan mencapai cita-cita diidamkan," katanya yang terpaksa berdikari tinggal di asrama UMPSA kampus Gambang.

Sementara itu, Noriedayu berkata, walaupun kaki kanan Muhammad Aqib Hakim tidak boleh diangkat secara normal, namun kekurangan itu tidak menjejaskan minatnya dalam aktiviti sukan, malah dia mampu berlari sejauh lapan kilometer dan menyertai beberapa sukan lain.

"Untuk menjamin sel kanser tidak kembali aktif, dia kini mengawal pemakanan terutama tidak mengambil daging bakar dan gula serta makanan lain," katanya yang bertugas sebagai guru Taman Bimbingan Kanak-kanak (TBK).

Video Terkini

Berita Berkaitan