BH Online
Ringkasan Berita

Kerajaan tak mahu tambah hutang, masih tanggung beban faedah hutang lama - PM

KAJANG: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan MADANI mengambil pendirian untuk tidak menambah lagi hutang negara walaupun nisbah hutang perlu ditanggung ketika ini semakin berkurangan.
Kerajaan tak mahu tambah hutang, masih tanggung beban faedah hutang lama - PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto NSTP/L Manimaran

KAJANG: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan MADANI mengambil pendirian untuk tidak menambah lagi hutang negara walaupun nisbah hutang perlu ditanggung ketika ini semakin berkurangan.

Perdana Menteri berkata, walaupun kerajaan berhasil mengurangkan hutang negara melalui pelbagai ikhtiar, negara masih terikat dengan jumlah pembayaran faedah lama hutang yang kekal tinggi.

Beliau yang juga Menteri Kewangan, berkata ini termasuk bebanan ditanggung bagi membayar faedah hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Lembaga Tabung Haji (TH) dan FELDA.

"Saya tidak mahu terus menambah hutang negara. Ada yang kata hutang kerajaan semakin bertambah.

"Hakikatnya, nisbah hutang kerajaan semakin berkurangan, tetapi jumlah pembayaran hutang masih tinggi kerana kita perlu membayar faedah ke atas hutang-hutang lama. Kita masih membayar hutang 1MDB. Bagaimana hendak nafikan perkara itu?" katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Santai Mesra Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara bersama warga perkhidmatan awam Zon Tengah di Dewan Sultan Idris Shah (DSIS), Universiti Islam Selangor,di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Naib Canselor Universiti Islam Selangor, Datuk Prof Dr Mohd Farid Ravi Abdullah.

Anwar berkata kerajaan masih menanggung beban kewangan yang besar akibat keputusan pelaburan dan salah urus pentadbiran terdahulu, termasuk pembelian aset pada harga yang jauh melebihi nilai sebenar.

Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan kerajaan hari ini terpaksa menanggung kos pembayaran yang tinggi setiap tahun bagi menyelesaikan komitmen kewangan yang ditinggalkan, sekali gus mengehadkan ruang fiskal untuk melaksanakan pelbagai agenda pembangunan dan kebajikan rakyat.

Sebagai contoh, katanya, terdapat aset termasuk sebuah hotel yang dibeli pada harga RM400 juta walaupun nilai sebenar dianggarkan hanya sekitar RM160 juta.

"Saya tahu kerana laporan itu sampai kepada saya. Apabila saya mengambil alih, saya pula yang perlu menyelesaikannya.

"Sekarang kita hendak jual semula pun mungkin hanya bernilai sekitar RM100 juta. Itulah realitinya," katanya.

Perdana Menteri berkata, pendedahan mengenai perkara itu mungkin tidak disenangi sesetengah pihak yang berpendapat isu lama tidak perlu lagi dibangkitkan.

"Adakah saya akan menjadi popular apabila menceritakan perkara ini? Sudah tentu tidak. Orang marah. Mereka kata jangan ungkit kisah lama.

"Tetapi siapa yang perlu membayar sekarang? Kerajaan hari ini," katanya.

Beliau berkata, beban kewangan itu turut dapat dilihat menerusi komitmen kerajaan terhadap FELDA yang mencecah hampir RM1 bilion setiap tahun.

Video Terkini

Berita Berkaitan