BH Online
Ringkasan Berita

Pemberian Khas RM1.5 bilion kepada Sabah hanya interim, rundingan 40 peratus diteruskan

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menegaskan persetujuan terhadap kadar baharu bayaran Pemberian Khas sebanyak RM1.5 bilion dari kerajaan Persekutuan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mei lalu hanya satu penyelesaian interim.
Pemberian Khas RM1.5 bilion kepada Sabah hanya interim, rundingan 40 peratus diteruskan

Ishak (kiri) dan Madius (kanan) dalam satu majlis sebelum ini . - Foto ihsan FB Dato' Sr. Mohd Ishak bin Datuk Ayub

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menegaskan persetujuan terhadap kadar baharu bayaran Pemberian Khas sebanyak RM1.5 bilion dari kerajaan Persekutuan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mei lalu hanya satu penyelesaian interim.

Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Mohd Ishak Ayub, berkata bayaran itu tidak boleh ditafsirkan sebagai persetujuan terhadap amaun muktamad Pemberian Khas kepada Sabah.

Beliau berkata persetujuan itu dibuat tanpa prejudis terhadap hak Perlembagaan Sabah di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.

Pada masa sama, katanya ia juga tidak menjejaskan keperluan untuk meneruskan rundingan bagi pelaksanaan formula 40 peratus bayaran balik hasil Sabah dalam menentukan amaun muktamad Pemberian Khas yang sewajarnya.

"Kerajaan Sabah kekal dengan pendirian tegas bahawa formula 40 peratus sebagaimana diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan hendaklah dilaksanakan sepenuhnya.

"Bagaimanapun, sekiranya persetujuan mengenai amaun muktamad Pemberian Khas menurut Perlembagaan Persekutuan tidak dapat dicapai melalui rundingan, kerajaan Sabah berpandangan bahawa pelantikan seorang penaksir bebas, sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 112D(6) Perlembagaan Persekutuan, hendaklah dilaksanakan," katanya pada sesi soal jawab lisan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Madius Tangau (UPKO-Tamparuli) mengenai Pemberian Khas RM1.5 bilion dari Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Sabah yang diumumkan Perdana Menteri sebelum ini.

Mohd Ishak berkata kerajaan Sabah sudah menerima bayaran interim Pemberian Khas bagi 2026 berjumlah RM600 juta dari Kerajaan Persekutuan pada 12 Jun lalu.

Bagi baki RM900 juta katanya, Kerajaan Sabah sudah memohon supaya jumlah itu disalurkan kepada dalam tahun ini juga.

Beliau turut mendedahkan beberapa siri surat-menyurat di antara kerajaan Persekutuan dan Sabah bertarikh 9 Jun, 19 Jun dan 26 Jun 2026 dibuat selepas pengumuman Perdana Menteri mengenai Pemberian Khas RM1.5 bilion pada 30 Mei lalu.

Video Terkini

Berita Berkaitan