KUALA PILAH: Kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan selama dua minggu bermula sejak Sabtu lalu, diharapkan dapat membawa limpahan rezeki buat peniaga itik salai di Kampung Terachi di sini.
Seorang peniaga itik salai, Khairul Hafiq Kamarul Zaman, 26, berkata, berdasarkan trend PRN Negeri Sembilan pada 2023, penjualan itik salai akan meningkat berlipat kali ganda tiga hari sebelum hari pengundian.
"Untuk hari biasa, kebiasaannya saya dapat jual itik salai antara lima hingga enam ekor sahaja.
Tapi dengan adanya kempen PRN, saya jangkakan penjualan meningkat terutamanya tiga hari sebelum hari pengundian.
"Ia berdasarkan trend PRN sebelum ini, yang mana saya mampu menjual sehingga 40 ekor sehari menjelang hari pengundian," katanya ketika ditemui di Kampung Terachi.
Itik salai antara perniagaan popular di kawasan ini dan mendapat sambutan daripada penduduk sekitar atau luar Negeri Sembilan.
Khairul Hafiq yang mula berniaga membantu keluarganya menjual itik salai sejak berumur 15 tahun berkata, kebanyakan pembeli adalah mereka yang pulang mengundi.
"Ramai yang datang membeli kebanyakannya adalah dari Kuala Lumpur kerana mereka pulang mengundi. Harga standard RM45 seekor manakala paling mahal berharga RM48 seekor," katanya.
Seorang lagi peniaga, Mohamad Shafie Jahaluddin, 46, turut menjangkakan permintaan meningkat menjelang hari pengundian.
Katanya, ahli atau jentera parti yang membantu kempen juga antara pembeli.
"Alhamdulillah, adalah rezeki lebih bila musim pilihan raya," katanya yang sudah 22 tahun berniaga itik salai.
Mohamad Shafie berkata, itik salai yang dijualnya adalah mengikut gred dan saiz.
"Dari segi harga, itik salai yang saya jual bermula RM45 sehinggalah kepada RM70 seekor mengikut saiz dan gred," katanya.
























