KUALA LUMPUR: Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) melakar sejarah dalam bidang perubatan selepas berjaya melaksanakan prosedur rawatan darah beku dalam arteri paru-paru menggunakan teknologi 'Inari FlowTriever' (IFT).
Teknologi perubatan IFT digunakan untuk mengeluarkan darah beku daripada saluran darah yang menyumbat arteri paru-paru tanpa menggunakan ubat pencair darah, sekali gus dapat mengurangkan risiko pendarahan serius dan mengurangkan mortaliti dan morbiditi.
Prosedur ini sudah dijalankan di sekitar hospital di ibu kota, namun ia kali pertama dibuat di Pantai Timur pada 11 Jun lalu selepas USM menjadi pusat intervensi khusus yang mempunyai kepakaran itu bagi Kelantan dan Terengganu.
Pensyarah Perubatan Jabatan Radiologi Pusat Pengajian Sains Perubatan USM, Dr Nasibah Mohamad, berkata IFT yang digunakan ini berkaliber lebih besar berbanding yang biasa digunakan bagi pesakit lain.
"Biasanya alat kateter hanya bersaiz antara lapan hingga 16 French, namun untuk kali ini ia berukuran 24 French, yang mana darah beku itu boleh disedut dengan kuantiti yang banyak dalam satu masa.
"Keberkesanan alat ini dianggarkan mampu mengeluarkan sebanyak 143 mililiter darah pada setiap saat," katanya kepada BH di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Dr Nasibah berkata, prosedur ini memerlukan kos tinggi mencecah RM50,000 yang perlu ditanggung pesakit untuk meneruskan rawatan.
Beliau berkata, alat ini memberi impak yang lebih bagus terutama apabila berhadapan dengan kes darah beku yang sudah kronik.
Katanya, prosedur ini adalah jalan terbaik yang boleh dipilih apabila ubat pencair darah sudah tidak berkesan lagi terhadap pesakit.
"Keunikan utama alat ini adalah kemampuannya untuk menapis semula darah yang disedut keluar dan dimasukkan semula ke dalam badan pesakit, sekali gus menjadikan isu kehilangan darah sangat minimum.
"Penggunaan alat ini sangat menjimatkan masa dan tenaga pakar kerana bekuan darah dikeluarkan secara mekanikal melalui teknik invasif minimum tanpa memerlukan pembedahan terbuka.
"Selain itu, ia juga membantu memperbaiki fungsi ventrikel kanan dan hemodinamik pesakit dengan lebih cepat," katanya.
Dr Nasibah berkata, teknologi IFT berpotensi meningkatkan kadar pemulihan pesakit, mengurangkan komplikasi dan mempercepatkan tempoh rawatan berbanding kaedah konvensional bagi kes yang sesuai.
Beliau berkata, setakat ini, pesakit yang menjalani teknologi IFT dibenarkan keluar dari wad selepas lima hari prosedur dijalankan
Pesakit juga tidak mengalami sebarang komplikasi besar atau kesan sampingan hasil prosedur itu, selain daripada hanya sedikit luka di lokasi alat kateter dimasukkan.
"Kejayaan ini hasil kerjasama antara pelbagai disiplin termasuk pakar radiologi pakar kardiologi, anestesiologi dan pasukan kejururawatan serta sokongan klinikal.
"Ini sekali gus menandakan USM menjadi antara pusat terawal yang menawarkan teknologi ini di negeri Pantai Timur," katanya.
























