BH Online
Ringkasan Berita

Nur Jazlan dipilih semula sebagai Timbalan Speaker Dewan Negara

KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed dipilih semula sebagai Timbalan Speaker Dewan Negara.
Nur Jazlan dipilih semula sebagai Timbalan Speaker Dewan Negara

Datuk Nur Jazlan Mohamed. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed dipilih semula sebagai Timbalan Speaker Dewan Negara.

Perkara itu diputuskan Speaker Dewan Negara, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah selepas hanya seorang nama saja dicalonkan ke jawatan itu.

Jawatan itu sebelum ini dikosongkan selepas Nur Jazlan menamatkan tempoh penggal pertamanya sebagai Ahli Dewan Negara bulan lalu.

Namun, pagi tadi, Nur Jazlan mengangkat sumpah jawatan Ahli Dewan Negara bagi penggal keduanya di hadapan Awang Bemee berkuat kuasa bermula 15 Jun lalu hingga 14 Jun 2029.

Terdahulu, pencalonan Nur Jazlan sebagai Timbalan Speaker Dewan Negara dicadangkan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Turut mengangkat sumpah menyambung jawatan bagi penggal kedua Ahli Dewan Negara adalah Mussodak Ahmad yang berkuat kuasa bermula 20 Mac lalu sehingga 19 Mac 2029.

Nur Jazlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Pulai, dipilih sebagai Timbalan Speaker Dewan Negara pada 19 Jun 2023 selepas mendapat 43 undi dalam pengundian lantikan jawatan itu.

Beliau ketika itu menewaskan Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Razali Idris yang dicadangkan Presiden GERAKAN, Datuk Dominic Lau ketika itu.

Awang Bemee dalam ucapannya ketika memulakan sidang Dewan Negara hari ini turut mengalu-alukan pemilihan itu.

Video Terkini

Berita Berkaitan