SHAH ALAM: Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, menyifatkan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 sebagai strategi penting yang mampu membawa kemenangan besar kepada gabungan itu.
Beliau berkata, sekiranya undi orang Melayu tidak berpecah, peluang BN dan PN untuk menawan lebih banyak kerusi di Negeri Sembilan adalah cerah.
Katanya, walaupun ada Ketua UMNO Bahagian di Negeri Sembilan yang tidak berpuas hati dengan penyerahan beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada PAS dan Parti Wawasan Negara (WAWASAN), strategi itu perlu diterima demi memastikan kemenangan.
"Suka atau tidak, di sesetengah kawasan jika undi Melayu berpecah, kita akan kalah. Saya ambil contoh Parlimen Sungai Buloh.
"Di Sungai Buloh, PH (Pakatan Harapan) menang dengan 50,000 undi, saya memperoleh 48,000 undi, manakala PAS meraih 29,000 undi. Ini membuktikan selagi ada calon PAS, undi orang Melayu akan terus berpecah.
"Kali ini kita mahu hanya ada satu gabungan utama Melayu di Negeri Sembilan. BN, PAS dan WAWASAN jangan pecahkan undi jika kita mahu menang besar," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pada majlis perasmian Mesyuarat Pemuda UMNO Bahagian Subang di Bangunan UMNO Selangor, di sini malam tadi.
Khairy berkata, strategi politik yang lebih anjal dan fleksibel diperlukan kerana landskap politik Negeri Sembilan berbeza dengan Johor yang menyaksikan BN sebagai penyandang kerajaan.
"Di Johor kita penyandang kerajaan dan mempunyai Menteri Besar serta rekod pentadbiran yang baik. Di Negeri Sembilan pula, Menteri Besarnya daripada PH, jentera kerajaan negeri dan Persekutuan diterajui PH, selain komposisi pengundi bukan Melayu lebih ramai.
"Sebab itu kita perlu berfikiran strategik dan anjal dalam menyusun pendekatan politik," katanya.
Dalam pada itu, Khairy mendakwa kerjasama antara BN dan PH sepanjang empat tahun menerajui Kerajaan Persekutuan tidak berjalan seperti yang diharapkan.
"Kita sudah memberi peluang kepada PH selama empat tahun, namun hari ini ada sesuatu yang tidak kena dengan kerjasama itu. Setuju atau tidak?
"Bukan tak kena sikit, tak kena banyakkan. Kita dah bertahan begitu lama dalam kerajaan hari ini.
"Dan bukan niat saya. Saya bukan orang yang akan kata kalau kita menang Negeri Sembilan bubar Parlimen, kalau kita menang Negeri Sembilan nanti kita letak jawatan... tidak, sebab kita kena matang dalam isu ini," katanya.
























