BH Online
Ringkasan Berita

PKS Bumiputera VDP PLUS catat peningkatan hasil tahunan terkumpul 30 peratus

KUALA LUMPUR: UEM Group Bhd (UEM Group) menerusi anak syarikatnya, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) terus memainkan peranan memacu keupayaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Bumiputera melalui Program Pembangunan Vendor Bumiputera (VDP).
PKS Bumiputera VDP PLUS catat peningkatan hasil tahunan terkumpul 30 peratus

Mohd Zulhariz (kiri) bersama Azizi ketika ditemu bual di Persada PLUS di Petaling Jaya, baru-baru ini. - Foto NSTP/ Ahmad Ukasyah

KUALA LUMPUR: UEM Group Bhd (UEM Group) menerusi anak syarikatnya, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) terus memainkan peranan memacu keupayaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Bumiputera melalui Program Pembangunan Vendor Bumiputera (VDP).

Sepanjang tempoh tiga tahun, 2023 hingga 2025, PLUS memperuntukkan 90 peratus daripada bajet perolehan mereka kepada perniagaan Bumiputera yang berkemampuan.

Pengarah Urusan UEM Group merangkap Ahli Lembaga Pengarah PLUS, Datuk Amran Hafiz Affifudin, berkata memperkukuhkan keupayaan vendor menjadi keutamaan bagi semua anak syarikat UEM Group termasuk PLUS.

bhplus202
Amran Hafiz Affifudin.

"Kami melihat inisiatif ini sebagai pendekatan strategik berterusan bagi membina rangkaian kontraktor dan rakan teknologi Bumiputera yang bersedia menghadapi masa depan serta mampu memenuhi keperluan operasi dan industri yang sentiasa berkembang.

"Pelaburan dalam pembangunan kapasiti mereka hari ini bukan sahaja membolehkan kami memperluaskan rantaian bekalan sedia ada, malah turut melahirkan syarikat tempatan berdaya saing tinggi, berupaya memacu pembangunan infrastruktur Malaysia pada masa hadapan dan menceburi peluang di peringkat serantau," katanya.

Program VDP PLUS ini selaras dengan objektif Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) dan diperkenalkan sejak 2021. Program berstruktur selama lima tahun ini menggunakan Malaysia Business Excellence Framework (MBEF) bagi menilai, membangun dan meningkatkan keupayaan vendor Bumiputera.

Sementara itu, Pengarah Urusan PLUS, Datuk Nik Airina Nik Jaffar berkata, rangka kerja VDP PLUS membangunkan rangkaian perusahaan Bumiputera yang lebih berdaya saing dan berdaya tahan.

bhplus201
Nik Airina Nik Jaffar.

"Di PLUS, kami percaya pembangunan lestari perlu mengimbangi hasil perniagaan dengan pemerkasaan komuniti, khususnya PKS tempatan untuk mencipta nilai sosioekonomi jangka panjang.

Bangunkan PKS

Program VDP PLUS memainkan peranan transformatif membangunkan PKS berpotensi tinggi melalui pembangunan keupayaan berstruktur, amalan kecemerlangan perniagaan dan peluang pertumbuhan.

"Terbaharu, program mentor-mentee kami sedang memupuk beberapa kontraktor serta perunding kecil dengan memberi peluang untuk terbabit dalam projek nasional berimpak tinggi.

"Berpandukan visi ini, PLUS menyasarkan untuk meluaskan capaian program VDP dengan menggandakan jumlah vendor yang menyertainya menjelang 2028.

"Seiring dengan aspirasi PLUS untuk menjadi lebuh raya pintar masa hadapan, kami ingin membawa bersama vendor PKS dalam perjalanan transformasi ini, ke arah pertumbuhan ekonomi yang lebih inklusif dan mampan," katanya.

Bagi memperkukuh dan memperluas impak program VDP, PLUS telah membangunkan Rangka Kerja Pemerkasaan Vendor Bumiputera yang merangkumi pelbagai inisiatif untuk memperluas kumpulan vendor Bumiputera yang berkeupayaan, meningkatkan kapasiti PKS serta mewujudkan peluang ekonomi lebih besar melalui akses kepada pembiayaan dan laluan pengkomersialan.

Sehingga kini, VDP PLUS telah menyokong seramai 22 vendor. Daripada jumlah tersebut, sembilan vendor telah berjaya menamatkan program manakala 13 lagi sedang aktif mengikutinya, membabitkan bidang kejuruteraan awam, mekanikal dan elektrikal, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta perkhidmatan infrastruktur.

Kejayaan vendor yang menyertai program dapat dilihat melalui rekod prestasi memberangsangkan, apabila sebahagian besar graduan VDP mencatatkan peningkatan hasil ketara, malah beberapa syarikat merekodkan pertumbuhan yang sangat cemerlang.

Pengarah Pemasaran D'Amante (M) Sdn Bhd, Mohd Zulhariz Mohammad Zulkifli, berkata syarikat (yang diasaskan oleh ayahnya pada 1999) telah menyertai program VDP PLUS dan ia membuka langkah untuknya melaksanakan fasa pembaharuan semula.

"Syarikat kami juga berkembang dari segi jumlah pekerja bermula dengan lima tenaga kerja kemudian kepada 30 orang ketika COVID-19. Setakat ini kami mempunyai 90 tenaga kerja yang dibahagikan kepada beberapa jabatan," katanya ketika ditemui di Persada PLUS.

Tingkat keupayaan teknikal

Bermula dengan produk lebuh raya seperti papan tanda LED dan sistem CCTV, D'Amante kini meningkatkan keupayaan teknikal dan melebarkan sayap ke industri rel serta aeroangkasa.

D'Amante juga aktif menjalin kerjasama bersama pelajar TVET dengan menyediakan peluang untuk meningkatkan kemahiran (up-skilling) dan mempelbagai kemahiran (multi-skilling) agar mereka bersedia, menempuh alam pekerjaan.

"Saya mahu mewujudkan multiplier effect. Kami melatih golongan muda ini dengan kemahiran supaya mereka menjadi pelapis generasi masa hadapan yang sedia industri dan bantu komuniti," katanya.

D'Amante ialah syarikat berinovasi tinggi yang menyediakan penyelesaian serta produk komunikasi kecemasan lebuh raya.

Sehingga kini, D'Amante memiliki ibu pejabat di Semenyih dengan pengendalian operasi di serata Malaysia.

Pada masa sama, Pengarah Urusan Focus Instruments (M) Sdn Bhd (FISB) dan peserta VDP, Azizi Harun, berkata impak terbesar VDP adalah pengukuhan tadbir urus (governance) dan proses dalaman syarikat.

Katanya, kini syarikat mempunyai Tatacara Pengendalian Piawai (SOP) yang menyeluruh bagi menstrukturkan cara menjalankan perniagaan dan membangunkan piawaian yang memenuhi keperluan industri setara dengan syarikat besar.

"Program ini meningkatkan keyakinan kami untuk mengendalikan projek yang lebih besar dan kompleks.

"Dalam tempoh empat tahun lalu, kami berjaya menyiapkan sebanyak 390 kontrak dan projek kepada pelbagai agensi kerajaan, Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan sektor swasta.

"Inisiatif seperti Business Excellence Framework (BEF) yang dijalankan oleh PLUS VDP meningkatkan kredibiliti syarikat dan memperkasakan tadbir urus dan proses operasi," katanya.

Program ini juga membuka peluang kepada Azizi untuk menyertai Program Akses Pasaran dan Pemindahan Teknologi 2024 di China yang memberi pendedahan kepada teknologi kenderaan elektrik (EV).

Azizi menyifatkan, program VDP PLUS sebagai pemacu utama yang mempercepatkan pertumbuhan perniagaan dan kematangan organisasi.

FISB yang ditubuhkan pada 2003, bermula sebagai syarikat kejuruteraan dan integrasi sistem yang memberi tumpuan kepada rangkaian komputer, pemasangan kabel berstruktur serta infrastruktur teknologi maklumat.

Pada peringkat awal, FISB menghadapi cabaran membina kredibiliti dalam industri yang sangat kompetitif, namun kini berjaya mencatatkan peningkatan hasil tahunan terkumpul sebanyak 30 peratus.

"Terima kasih saya ucapkan kepada UEM Group dan PLUS atas peluang keemasan ini. Kami komited membalas kepercayaan ini dengan mengekalkan tahap profesionalisme, integriti dan kualiti penyampaian yang konsisten demi menyokong agenda transformasi digital Malaysia," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan